29 Disember 2008

Islam Mengharamkan Perkauman -Malaysiakini

Realiti hari ini menunjukkan bahawa kaum Muslimin di seluruh dunia, walaupun mereka berkongsi aqidah, namun mereka bercerai-berai dalam politik, ekonomi dan hala tuju. Di dalam Al-Quranul Kareem, Allah SWT menjelaskan bahawa kaum Muslimin itu bersaudara, bukan setakat 'rasa' persaudaraan, namun kaum Muslimin pada hakikatnya merupakan satu tubuh; bersatu dalam aqidah, aspirasi politik dan ekonomi serta hala tuju. Namun, situasi ini telah cuba diubah oleh penjajah dan buat sekian lamanya dipertahankan oleh kaum Muslimin itu sendiri. Bagi Muslimin di Malaysia yang ikhlas, ketika memerhatikan realiti yang digambarkan di atas, akan dapat melihat bahawa punca persengketaan, contohnya di dalam kes Ambalat tidak lama dulu, timbul akibat dari wujudnya nation states (negara-bangsa), yang lahir setelah lenyapnya Khilafah Islam pada tahun 1924.
Malaysia dan Indonesia yang dihuni majoriti Muslim bersungguh-sungguh berebut kedaulatan atas sebuah tanah yang sebenarnya dimiliki mereka secara bersama. Mereka disirami dengan doktrin nasionalisme, kerana itulah negara-bangsa tersebut telah berhasil dimanfaatkan oleh kaum penjajah untuk memecahbelahkan negeri kaum Muslimin sehingga menjadi negara-negara kecil dan lemah dan kaum Muslimin pula bergaduh sesama sendiri. Amat sedih untuk mengakui realiti ini namun hakikatnya, di antara negara kaum Muslimin yang termasuk di dalam negara-bangsa yang dilemahkan oleh kuasa Barat tersebut adalah Malaysia dan Indonesia yang sering dikatakan sebagai serumpun. Setelah kemasukan penjajah, kesatuan rumpun dengan aqidah yang sama yang pernah dikecapi satu masa dahulu, kini dikoyak-koyakkan dan akhirnya mereka pun menjadi lemah sehingga negara-negara penjajah kuffar dengan mudah menguasai mereka.
Sesungguhnya nasionalisme jelas diharamkan oleh Islam. Rasulullah SAW, "Dan tidak termasuk golongan kami orang yang menyeru kepada 'assabiyyah, berperang atas dasar 'assabiyyah, dan mati atas (sebab) 'assabiyyah". [HR Abu Daud] Sabda baginda yang lain, “Tinggalkanlah ia (nasionalisme/kesukuan). Ia merupakan suatu perkara yang jijik” [HR Bukhari dan Muslim] Di dalam suatu insiden Jabir bin Abdullah Al-Ansari telah meriwayatkan apa yang berlaku di Al-Muraysi di mana golongan munafik cuba menyalakan perasaan assabiyyah di kalangan kaum Muslimin: “Kami sedang di dalam suatu sariyyah bilamana salah seorang Muhajirun telah menendang salah seorang Ansar. Si Ansar menjerit, 'Wahai Ansar bantulah aku dan si Muhajirin juga menjerit, 'Wahai Muhajirin bantulah aku' Mendengarkan ini Rasulullah SAW berkata, 'Mengapakah kamu hidupkan sesuatu dari zaman jahiliyyah?” Terdapat banyak lagi hadis yang menjelaskan kebusukan dan kejijikan semangat perkauman, yang membawa perpecahan di kalangan kaum Muslimin yang sebenarnya adalah satu kerana kita disatukan oleh aqidah Islam. Salah satu tentangan dan cabaran besar kepada pejuang-pejuang Islam yang bergerak untuk menyatukan umat Islam dewasa ini adalah semangat perkauman ini. Sikap ini pula banyak menjadi duri dalam daging, dengan adanya gerakan Islam yang bersifat setempat dan mempertahankan bangsa dan negara masing-masing.
Sudah semestinya sempadan maya dalam pemikiran dan perasaan umat Islam dihapuskan dan digantikan dengan Khilafah Islamiyyah, sebuah negara Islam yang hakiki yang tidak lagi mengenal sempadan berdasarkan bangsa.