15 Mac 2008

bukan pertikai .. Tolak Hadis pun Aqidah boleh Goyah

BERDEPAN dengan dunia serba moden menyaksikan pelbagai pembaharuan, dari aspek pemikiran hingga kepada bentuk material. Setiap detik ada saja teknologi baru direka cipta tetapi bagi mereka yang bersifat statik sudah semestinya ketinggalan, merasakan semakin sukar untuk menikmati kehidupan selesa.Tidak kelihatan sebarang kesalahan apabila manusia berlumba-lumba memajukan diri untuk mendapat kesenangan dan keselesaan, malah sesuai dengan tugas manusia sebagai khalifah, bertanggungjawab memakmurkan bumi ini dengan sebaik-baiknya.Cuma iklim pemodenan itu bagi sesetengah pihak mempengaruhi pemikiran mereka secara keseluruhan, tiada lagi keterikatan agama, sehinggakan segala permasalahan diselesaikan menggunakan hujah rasional serta makmal uji kaji yang boleh dilihat dengan mata dan logik akal saja.Disebabkan itu juga, sesetengah pihak mempertikaikan hadis sebagai sumber hukum, mahu supaya hadis dikaji semula, malah dengan mudah menolak hadis, sedangkan ijmak (kesepakatan) ulama menerimanya sebagai sumber hukum Islam.Apakah pengaruh pemikiran seperti itu boleh diterima dan dibiarkan berleluasa? Tidakkah pengaruh seperti itu akan mengundang bahaya kepada masyarakat Islam, terutama golongan awam yang cetek mengenai perkara berkaitan agama dan hadis itu sendiri?Penolong Pengarah Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Zamihan Mat Zin, berkata sudah tentu pemikiran dan dakyah yang dibawa golongan antihadis itu sesat dan membawa bahaya kepada kemurnian akidah masyarakat Islam."Golongan ini mengatakan hadis perlu dikaji semula kerana mendakwa tidak sesuai dengan keadaan semasa. Contohnya berkenaan aurat, bagi mereka pada masa dulu praktikal kerana di Makkah bentuk muka buminya berpasir dan berlaku ribut pasir."Tetapi sekarang kata mereka faktor cuaca panas, pakaian menutup aurat tidak relevan lagi, malah apabila menutup aurat nampak orang Islam dalam bungkusan, kelihatan tidak matang dan tidak membangun, sedangkan di Barat tidak tutup aurat pun boleh maju," katanya.Hadis ialah segala ucapan nabi, perbuatan dan keadaannya. Keadaannya bermaksud segala yang diriwayatkan dalam buku sejarah seperti berkaitan keputeraannya, tempatnya dan segala yang berkaitan dengannya.Ijmak ulama Islam menetapkan hadis adalah dasar bagi perundangan Islam dan umat Islam berkewajipan mematuhi hadis sebagaimana diwajibkan mematuhi al-Quran.Banyak ayat al-Quran memberikan pengertian secara tegas hadis itu suatu dasar bagi syariat Islam yang wajib ditaati sebagaimana wajib ditaati al-Quran. Justeru, umat Islam tidak boleh membelakangi, meninggalkan atau menentang hukum hadis atau hukum al-Quran atau kedua-duanya sekali sama ada dengan alasan atau tidak. Zamihan berkata, mereka yang menolak hadis adalah mengingkari hadis sebagai sumber hujah dalam perundangan Islam sama ada mengingkari separuh atau sebahagian daripadanya, contohnya menerima hadis nabi dari sudut perbuatan, tidak menerima perkataan nabi, sedangkan hadis itu termasuk perbuatan dan perkataan nabi. "Ada yang mengatakan hadis perlu dikaji semula, ambil hadis yang dirasakan sesuai saja, mempertikai perkara ghaib (sam'iyat) seperti dosa, pahala, titian sirat, syurga dan neraka. "Menurut mereka, perkara ini menakutkan orang dan menolak kemajuan. Mereka menggunakan unsur rasional dalam dakyah mereka," katanya sambil memperakui: "Memang sesetengah mereka adalah ahli akademik dan cerdik pandai dalam sesuatu bidang, tetapi pemikiran mereka terlalu bebas sehingga menggunakan akal tanpa batasan, mahu hadis dikaji semula."Katanya, perkara ghaib memang tidak boleh dibuktikan melalui eksperimen di makmal dan dengan sebab itu, bagi memperoleh kesentosaan serta keselamatan dunia dan akhirat, manusia memerlukan bimbingan wahyu.Menoleh kepada sejarah antihadis, ia berlaku selepas kewafatan Nabi Muhammad s.a.w apabila Musailamah al-Kazzab mengisytiharkan dirinya mengingkari kefarduan zakat, menunjukkan dia tidak mempercayai nabi dan perintah baginda. Selepas itu, muncul puak Khawarij dan Syiah yang menggunakan hadis bagi kepentingan masing-masing mengikut kesesuaian pemikiran mereka. Zamihan berkata, selain itu, mereka yang mengatakan nabi tidak melakukan sesuatu perkara dengan sewenang-wenangnya disebabkan kejahilan diri sendiri juga dikatakan antihadis."Ada yang kata jangan buat ini kerana nabi tidak buat, sedangkan dia sendiri tidak mengetahui sama ada nabi melakukannya atau tidak, hanya dia yang pandai-pandai mengatakan demikian dan ini termasuk orang antihadis, juga bahaya. "Orang Islam kena memahami setiap apa yang tidak dilakukan nabi tidak semestinya haram. Ada yang nabi tinggal dan tidak melakukannya kerana hendak mengajar umatnya dan ada benda harus. "Lainlah bagi mereka yang benar-benar tahu mengenai hadis, boleh mengatakan ini dan itu, nabi lakukan dan tidak lakukan. Tetapi bagi orang awam tidak boleh mengatakan sesuatu ikut sesedap rasa," katanya.Beliau berkata, tindakan membuat kesimpulan sendiri terhadap satu-satu hadis yang dibaca juga mendatangkan bahaya."Contohnya mengatakan bidaah menyambut Maulidur Rasul sebab nabi tidak melakukannya. Nabi tidak mengadakannya kerana nabi sibuk dengan benda lain lagi. Jangan kata faktor hadis untuk tolak sesuatu benda sekiranya kita tidak tahu."Jika membaca hadis Bukhari atau Muslim rujuk syarahnya (keterangan), barulah dapat faham lebih mendalam. Jika tidak, kita menghurai hadis mengikut pemikiran sendiri yang secara tidak langsung membawa kepada antihadis. "Dalam satu-satu perkara kadangkala ada berpuluh, malah beratus hadis yang menyentuh mengenainya. Bagi mengelak salah faham dan pentafsiran sendiri yang tidak ketentuan, kenalah mengikuti pentafsirannya daripada cerdik pandai hadis," katanya.Menurutnya, golongan yang menggunakan al-Quran saja sebagai sumber hukum dan tidak mahu menggunakan hadis juga amat berbahaya kerana dalam memahami kandungan kitab suci memerlukan hadis sebagai penjelas dan pentafsir.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan