15 Mac 2008

PERAMPAS HARTA ANAK YATIM ???

RAMALLAH: Beratus-ratus tentera Israel yang dibantu kereta perisai, menyerbu rumah di bawah kendalian Persatuan Kebajikan Islam Palestin, termasuk asrama anak yatim dalam satu serbuan kejam di Hebron, awal minggu ini. Selain merosakkan harta benda, askar Zionis itu turut mencuri hasil sumbangan asing termasuk makanan, pakaian, kasut dan perabot yang semuanya mencecah ratusan ribu dolar. Malah bukan setakat makanan seperti hasil tenusu, tetapi juga peralatan penting dapur dan peti sejuk turut dicuri tentera Zionis berkenaan, kata saksi dan pegawai majlis tempatan. Bagi menyuarakan rasa tidak puas hati itu, ribuan anak yatim terbabit mengadakan bantahan di Hebron, kelmarin tetapi ia tidak mendapat liputan meluas media antarabangsa. Perkhidmatan media Arab melaporkan semalam, persatuan itu yang terbesar di Palestin, menguruskan dua rumah anak yatim dan beberapa asrama yang menjadi tempat perlindungan kira-kira 7,000 anak-anak yatim Palestin. "Semua barangan dicuri askar Israel itu penting kerana menjadi sumber makanan serta pakaian hasil sumbangan orang ramai dan rakyat asing kepada anak yatim terbabit," kata Ahmed Farah, pegawai pertubuhan Islam berkenaan. Beliau turut menafikan sekeras-kerasnya pertubuhan kebajikan itu dimiliki Hamas. "Kami adalah pertubuhan kebajikan dan tiada kena mengena dengan politik. Pertubuhan ini beroperasi sejak 1964 sebelum pencerobohan Israel. Malangnya, kami sering menjadi sasaran tentera dan pihak perisikan Israel." - Agensi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan