01 Mac 2008

Pelajar Malaysia Dirompak. Para Mahasiswa Diarah Untuk Mengetatkan Keselamatan. Kaherah, 26 Februari - Seorang pelajar lelaki dari Kelantan yang diminta untuk dirahsiakan identitinya telah dirompak oleh sekumpulan orang kulit hitam di Hayyu Zuhur. Kejadian yang berlaku antara jam 12.30 hingga 1.00 pagi itu adalah antara insiden buruk yang membabitkan warga Malaysia sekitar tahun ini.Mangsa yang pulang daripada kedai photostat di Masakin Othman atas urusan yang berkaitan dengan program Bazaria Kelantan yang akan diadakan pada 3 Mac ini telah dikepung oleh sekumpulan 'Mat Hitam' yang bukan berwarganegara Mesir di lorong Hassan Ziyad berdekatan dengan kedai gunting rambut dan stesyan minyak di Hayyu Zuhur. Mereka yang dianggarkan dalam enam atau tujuh orang telah cuba untuk menarik mangsa ke tempat gelap namun mangsa berkeras untuk tidak ke kawasan gelap kerana khuatir akan dicederakan. Mereka cuba untuk mengambil wang daripada mangsa namun mangsa tetap berkeras. Namun apabila salah seorang mereka mula mengeluarkan senjata tajam seperti parang dan mengacukan kepada mangsa, mangsa akhirnya menyerahkan kepada mereka wang yang berjumlah LE 600.00 dan sebuah telefon bimbit.Sebelum kes ini, ada di kalangan para mahasiswa Malaysia yang telah mengalami insiden yang sama di beberapa lokasi khususnya di Hayyu Zuhur dan Suq Sayyarat, Hayyu Asyir. Berikutan dengan kes-kes seperti ini, Presiden PMRAM, saudara Hairul Nizam Mat Husain telah menghubungi pihak keamanan Mesir (Amnu al-Daulah) bagi melaporkan kejadian yang tidak diingini ini kepada pihak keselamatan. Pihak Keamanan Mesir berjanji akan mengetatkan kawalan di beberapa lokasi hitam khususnya di Suq Sayyarat, Hayyu Asyir.PMRAM menasihati para mahasiswa Malaysia yang berada di Mesir khususnya di Kaherah agar mengambil berat dalam isu-isu keselamatan. Para mahasiswa tidak digalakkan pulang lewat pada waktu malam ke kediaman masing-masing memandangkan kebanyakan kes yang timbul yang membabitkan peras ugut bersenjata adalah berlaku pada waktu malam. PMRAM menasihati seluruh para pelajar agar tidak membawa wang yang banyak semasa berada di luar rumah di samping tidak pulang secara bersendirian.Para mahasiswi khususnya diminta untuk mematuhi ketetapan yang telah dibuat oleh pihak PMRAM sebelum ini yang tidak membenarkan sama sekali mahasiswi untuk keluar pada waktu malam melainkan atas sebab-sebab yang mendesak dengan syarat ditemani oleh beberapa pelajar lelaki (musyrif) yang dipilih oleh pihak Badan Kebajikan Anak Negeri (BKAN) atau Dewan Perwakilan Mahasiswa (DPM) masing-masing. Ketetapan yang telah diamalkan semenjak dahulu lagi ini bukanlah untuk mengongkong kebebasan mahasiswi namun sebaliknya ketetapan ini dibuat semata-mata ingin menjaga keselamatan dan kehormatan para mahasiswi Malaysia yang belajar di Mesir.PMRAM menyarankan kepada para mahasiswa yang terpaksa pulang lewat ke kediaman masing-masing agar tidak menaiki bas sebaliknya menaiki teksi agar para mahasiswa dapat sampai ke rumah dengan cepat dan aman.Sebarang masalah keselamatan yang berlaku boleh terus diajukan kepada Presiden PMRAM di talian 0105839069 atau mana-mana Badan Pengurus PMRAM dan HEWI PMRAM.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan