01 Mac 2008

Genggam Bara, Memugar Satu Kebersamaan

Lajnah dan Unit Perancang dan Panitia PMRAM 2007 telah menganjurkan program Genggam Bara 2007. Program rutin saban tahun bagi para AJKT BKAN dan DPM ini telah berlangsung selama dua hari bermula pada 24 dan 25 Februari. Ia turut diadakan di dua tempat berasingan iaitu hari pertama di Rumah Kelantan Baru dan hari kedua di Dewan Solah Kamil, Universiti Al-Azhar Hayyu Sadis. Program yang bertemakan Kita PMRAM itu dihadiri lebih 200 orang peserta yang semuanya adalah pimpinan di BKAN dan DPM masing-masing. Program ini juga adalah antara program PMRAM yang terakhir sebelum berlangsungnya Muktamar Sanawi PMRAM pertengahan Mac nanti. Presiden PMRAM, saudara Hairul Nizam Mat Husain telah sudi merasmikannya.Pada hari pertama, ia dimulakan dengan majlis perasmian sebaik sahaja para delegasi memenuhi Rumah Kelantan Baru lebih kurang jam 9 pagi dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran yang dibacakan oleh saudara Husni Ali Hasan. Dewan Tok Kenali penuh sesak dengan kehadiran para delegasi hingga melimpah ke Maktabah Darul Ulum dan tingkat bawah RKB. Ia kemudian disusuli dengan ucapan alu-aluan pengarah program yang juga pemangku Ketua Lajnah Perancang dan Panitia PMRAM, saudara Mohd Firdaus Madzlan sebelum Presiden PMRAM, saudara Hairul Nizam Mat Husain menyampaikan ucapan seterusnya merasmikan program. Setelah itu, majlis diteruskan lagi dengan pembentangan Etika dan Gerak Kerja PMRAM hingga jam 12 tengah hari. Pada hari kedua,majlis dimulakan dengan Forum bertajuk Menyelusuri Sejarah Kita yang membariskan dua panel yang tidak asing lagi iaitu anggota Lembaga Penasihat PMRAM, saudara Mohd Hafiz Mansor dan saudari Dayang Noraini dan dipengerusikan oleh Ketua Unit Kebajikan dan Tabung Derma HEWI PMRAM, saudari Herlina Syarial. Pada hari ini turut diadakan dua Gerak Kerja Berkumpulan (GKB) yang mana para peserta telah dipecahkan beberapa kumpulan manakala Badan Pengurus dan HEWI bertindak sebagai fasilitator. Pada program kali ini turut menarik perhatian para peserta sewaktu makan tengah hari kerana makanan dihidangkan secara buffet. Kemesraan antara peserta dan pimpinan jelas kelihatan sewaktu para peserta beratur untuk mengambil makanan, kelihatan para anggota Badan Pengurus PMRAM membantu para peserta mengambil makanan. Para peserta juga berkesempatan berdialog bersama pimpinan mereka dalam slot “Dialog Perdana bersama Kepimpinan PMRAM” yang turut dihadiri oleh sekalian anggota Badan Pengurus dan Hewi kecuali Presiden PMRAM yang menghadiri kelas wajib M.A beliau di Universiti Al-Azhar. Para peserta tidak melepaskan peluang dengan mengajukan pelbagai persoalan dalam dialog yang dipengerusikan oleh Setiausaha Agung PMRAM, saudara Mohd Syafiq Zulakifli.Sejurus solat Asar, para peserta mengikuti slot Talkshow yang membincangkan tajuk “PMRAM: Dulu,Kini dan Selamanya” yang membariskan dua anggota panel iaitu saudara Mohd Fakerei Mahyudin, anggota Lembaga Penasihat dan saudara Khairul Anuar Ismail, Ketua Badan Komunikasi dan Bahasa Arab manakala talkshow ini dikendalikan Muhammad Abdul Malik Abdul Karim dan saudari Nur Mazni Ahmad Fauzi.Pada sebelah petangnya, satu slot Muhasabah antara PMRAM dan BKAN serta DPM telah diadakan yang telah dikendalikan oleh saudara Mohd Firdaus Madzlan selaku pengarah program. Dalam program ini para peserta turut diperdengarkan lagu PMRAM yang telah diubahsuai mengikut rentak baru yang lebih bersemangat. Sejurus tamat slot muhasabah ini diadakan majlis penutup. Pada majlis ini, semua Yang Dipertua BKAN, Pengerusi DPM dan ketua HEWI BKAN masing-masing telah berdiri di hadapan para peserta bagi menyempurnakan bacaan ikrar yang diketuai oleh Pengerusi DPM Zaqaziq, saudara Mumtaz Harun. Majlis penutup telah disempurnakan juga oleh Presiden PMRAM. Dalam ucapan ringkasnya itu, beliau mengingatkan kepada para pimpinan tentang kepentingan ilmu. Tambah beliau lagi, sebagai pemimpin mereka perlu meletakkan keutamaan ilmu mengatasi segala-galanya kerana hanya dengan ilmu akan menjadi pedoman dalam memimpin masyarakat kepada Allah. Sebelum program berakhir,pihak urusetia telah menyediakan hadiah bagi GKB terbaik serta Dewan Perwakilan Mahasiswa Zaqaziq telah dipilih sebagai delegasi terbaik.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan