02 September 2007

Islam memperkasa jiwa merdeka

Jumaat lalu kita menyambut ulang-tahun kemerdekaan negara yang ke-50. Kemerdekaan yang dikecapi daripada tangan penjajah pastilah cukup besar maknanya kepada seluruh warga Malaysia. Rakyat yang pernah dibelenggu dan dipaksa bertuankan penjajah seperti Portugis, Belanda, Jepun dan Inggeris selama lebih 450 tahun di tanah air sendiri kini sudah mampu mengukir senyuman megah dan berbangga kerana bebas sebagai bangsa merdeka dan berdaulat. Namun dalam kemeriahan dan keriuhan sorak-sorai sambutan ulang-tahun ke-50 negara ini, amat wajar untuk setiap warga berdaulat turut melakukan muhasabah bagi menilai secara objektif dan penuh keinsafan akan makna kemerdekaan yang hakiki. Apakah selepas 50 tahun kita merdeka, bangsa Malaysia benar-benar terbebas daripada segala bentuk kongkongan dan belenggu? Apakah sudah terbenam jiwa hamba dan sebaliknya mekar berkembang jiwa merdeka dalam setiap diri warga Malaysia yang berdaulat? Apakah kemerdekaan telah berjaya membebaskan perasaan dan pemikiran kita daripada sebarang bentuk pemujaan kepada penjajah yang telah lama meninggalkan kita? Persoalan-persoalan inilah yang perlu diamati dan ditelusuri secara ikhlas dan terbuka setiap kali kita menyambut hari kemerdekaan negara. Malah kemerdekaan kita yang melewati hampir separuh abad bersama timbunan khazanahnya perlu ditelaah oleh generasi pelanjut dan pewaris perjuangan. Semangat untuk sentiasa merenung sejenak ke belakang sambil memperhalusi dan mengoreksi keaiban masa silam agar perencanaan lebih tersusun dan kesilapan tidak diulang adalah satu manifestasi semangat muhasabah yang menjadi asas perjuangan Islam sebagaimana yang diungkapkan oleh Allah: Sesungguhnya pada kisah-kisah mereka itu terdapat pengajaran bagi orang-orang yang mempunyai akal. Al-Quran bukanlah cerita yang direka-reka, akan tetapi membenarkan (kitab-kitab) yang sebelumnya dan menjelaskan segala sesuatu dan sebagai petunjuk dan rahmat bagi kaum-kaum yang beriman (Yusuf: 111). Jika dinilai secara objektif, hakikat yang tidak dapat dinafikan ialah masyarakat kini masih terbudaya dengan nilai yang ditinggalkan penjajah. Malah rakyat khususnya generasi pasca kemerdekaan seolah-olah masih terbelenggu dengan mentaliti jiwa hamba hingga kadangkala begitu mendewakan bekas tuannya yang secara zahir sudah lama meninggalkan daerah penjajahan mereka. Pemikiran dan perasaaan sebahagian masyarakat seringkali termomok dengan kehebatan dan keunggulan budaya dan nilai bekas tuannya hingga menjadi kayu ukur utama dalam membuat penilaian dan perbandingan. Penyimpangan orientasi pemikiran sebeginilah yang akhirnya memudahkan penjajahan bentuk baru yang cuba merubah cara hidup dan paradigma pemikiran rakyat secara disedari atau tidak. Apa yang lebih membimbangkan generasi muda selaku pewaris kemerdekaan negara adalah golongan yang paling terdedah kepada pelbagai bentuk penjajahan budaya kini. Lihat saja anak muda kini dengan pelbagai gaya dan watak yang menggunakan pelbagai istilah seperti Generation X, Yuppies, Punk, Hip-Hop yang berteraskan nilai dan budaya hedonistik Barat bersemboyankan keseronokan rakus tanpa batasan mahupun ikatan agama dan adat resam. Tidak hairanlah sejak akhir-akhir ini kedengaran pelbagai gejala keruntuhan moral yang semakin serius dikalangan anak-anak muda seperti gejala seks bebas, anak tidak lagi menghormati orang tua, pelajar mengugut guru, malah remaja sanggup melakukan apa sahaja sehingga ke tahap membunuh dan mencederakan sesiapa sahaja yang didendami demi memuaskan gelojak nafsu yang tidak terbimbing dengan prinsip tauhid dan nilai-nilai keinsanan. Jawapan dan jalan keluar kepada segala kemelut dan krisis nilai yang begitu gawat kini hanya mampu ditangani jika kita kembali kepada nilai teras yang mendasari umat Melayu sebelum penjajahan. Ternyata Islamlah yang telah menerasi keunggulan dan kehebatan umat Melayu suatu ketika. Proses pengIslaman pada abad 13-16 Masihi yang meratai seluruh dunia Melayu telah melahirkan umat Melayu-Islam yang hebat dan berjiwa merdeka hingga terbentuknya tamadun Melayu seperti Tamadun Melayu Melaka dan Tamadun Acheh yang terkenal seantero dunia. Justeru, bagi mempertahankan kemerdekaan yang dikecapi 50 tahun ini, usaha bersepadu harus digiatkan untuk membangunkan generasi pewaris yang terbangun di atas dinamika ketakwaan, keimanan dan keilmuan yang kental, sekaligus membentuk budaya hidup dan jatidiri bangsa yang dinamik. Orientasi keagamaan dan keilmuan yang dinamik akan menjadikan mereka bukan sahaja generasi pewaris negara yang mempunyai keupayaan intelektual dan ketajaman analisis namun akal budi sentiasa terikat dengan norma tauhid dan nilai keinsanan sejati. Sebab itulah kemerdekaan hakiki adalah kemerdekaan yang membebaskan jiwa dan pemikiran daripada belenggu penjajahan. Kemerdekaan sejati adalah kemerdekaan yang menjana generasi pewaris yang mempunyai kekuatan daya saing, daya juang dan daya saring yang tinggi hingga mampu menjadi umat berjiwa besar untuk membina tamadun bangsa yang cemerlang, gemilang dan terbilang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan