06 September 2007

50 Tahun Kemerdekaan Akan Datang : Belia Galas Tugas Penting - Salahuddin

Saya bersama rakyat Malaysia seluruhnya sama ada golongan muda atau tua tidak kira Agama, Bangsa atau keturunan amat merasa bersyukur di atas tarikh keramat pada hari ini. Sudah tiba hari kemerdekaan kita mencecah 50 tahun kemerdekaan Negara yang telah kita capai, kini akan masuk pula fasa kedua 50 tahun kemerdekaan kita yang akan datang. Sejarah yang terpapar kepada kita banyak memperlihatkan semangat orang muda untuk memastikan perubahan, orang muda melihat kerja-kerja untuk membebaskan Negara pada masa itu amat yakin ianya sebagai tuntutan Agama untuk memastikan Bangsa dan Negaranya yang berdaulat. Pada hari ini kita semua harus mengukur tahap diri kita dari sudut mengamalkan Agama, memartabatkan Bangsa & memajukan Negara kita. Saya merasakan orang muda kini begitu terhakis ketiga-tiga perkara tersebut, bermula saat ini saya berharap perubahan harus kita mulakan dengan berani. Sudut Agama bagi orang muda sekarang amat merisaukan masyarakat kita, bahaya gejala sosial dan keruntuhan akhlak mempunyai angka yang paling besar dalam penyakit masyarakat yang di bawa oleh muda-mudi kita. Tiada satu formula yang diketengahkan untuk menyembuh penyakit ini, yang ada hanya menambahkan dan mengembangkan penyakit-penyakit yang sedia ada. Saya amat yakin dengan berteraskan Agama, penyakit-penyakit tersebut akan dapat diubati. Manakala sudut Bangsa pula kelihatan seperti proses kehakisan yang akan menghilangkan identiti bangsa itu sendiri, ianya bermula setelah sistem pendidikan bangsa itu tidak dibenarkan untuk sebagai pembelajaran di sekolah. Saya sebagai rakyat yang merdeka mengharapkan semua Bangsa dapat membina identiti Bangsanya sendiri tanpa halangan yang telah dibuat. Setiap Bangsa atau keturunan itu sebenarnya sebagai keunikan yang tiada tolok bandingnya, maka peliharalah identiti Bangsa dan keturunan kita semua. Bagi sudut Negara pula kita melihat akan ketirisan sistem penyampai yang amat ketara bermula dengan penyakit rasuah, walaupun pelbagai andaian bahawa penyakit ini masih dalam peringkat kawalan tetapi masalah yang ada bermulakannya daripada ahli politik dan juga pegawai tinggi kerajaan. Mereka inilah yang sedang mengurus Negara kita, disebabkan penyakit ini dalam sedar atau tidak sedar Negara menjadi pertaruhan. Dengan menjual saham dalam syarikat atau membenarkan warga asing menjadi pengurus syarikat demi memajukan Negara, sebagai memastikan Negara lebih maju dan berdaya saing. Tetapi dengan cara inilah penjajahan-penjajahan kekuasaan dan pemikiran telah menjadikan diri kita semua kembali di jajah. Saya menyeru semua golongan muda-mudi membina sakhsiah diri bagi menghadapi pelbagai cabaran yang akan datang. Tidak kira Agama, Bangsa atau keturunan mesti melihat asas pendidikan Agama menjadi teras. Saya sebagai seorang yang beragama Islam sudah tentu mahu kearah kebaikan dan yakin tiada Agama yang mahu merosakkannya, maka kita semua mesti menjadikannya sebagai panduan untuk menguruskan Negara yang tercinta ini. Bermula dengan diri kita baik dan seterusnya masyarakat kita juga akan baik, akan terpiliharalah Negara di bawah pemerintahan kita sendiri. Selamat menyambut 50 tahun kemerdekaan Malaysia, Malaysiaku Gemilang. YB. SALAHUDDIN AYUB

Tiada ulasan:

Catat Ulasan