18 Oktober 2008

Ayah Pin Muncul lagi -Malaysiakini

BESUT: Pemimpin ‘Kerajaan Langit’, Ariffin Mohamad atau Ayah Pin, 68, yang menghilangkan diri selepas perkampungan ajaran sesatnya di Kampung Batu 13, Hulu Besut, dekat sini, dirobohkan pada Julai 2005, dipercayai muncul beberapa kali di situ. Ini berdasarkan dakwaan penduduk berhampiran perkampungan itu yang mendakwa masih melihat Ayah Pin dan ramai pengikutnya, termasuk dari luar daerah itu memasuki kawasan perkampungan berkenaan.Seorang penduduk yang enggan dikenali memberitahu Harian Metro, walaupun tiada lagi replika yang menjadi sanjungan pengikut Ayah Pin seperti telaga zam-zam, kaabah dan bahtera Nabi Nuh serta dewan besar yang menjadi tempat ahli kumpulan berkenaan menjalankan upacara mereka, kawasan itu masih dikunjungi pengikut ajaran sesat berkenaan dari dalam atau luar negeri ini. Menurutnya, dakwaan pemimpin kumpulan itu yang dikatakan sakit dan bersembunyi di lokasi rahsia di negara jiran dipercayai tidak benar. “Saya sendiri pernah melihat Ayah Pin ketika dia balik dan pergi dari perkampungan itu beberapa kali. “Dia tetap balik kerana keluarganya masih tinggal di perkampungan itu, malah saya sendiri pernah bertanyakan keadaan Ayah Pin dengan anaknya selain pernah melihat sendiri ketika dia balik ke perkampungan itu,” katanya.Katanya, hanya penampilan Ayah Pin sekarang sedikit berbeza apabila dia membotakkan kepala.“ Pada Aidilfitri lalu, 200 dipercayai ahli kumpulan ajaran sesat itu serta lebih 10 kereta, termasuk kenderaan mewah dilihat memasuki dan berkumpul di situ.“Cuma bentuk aktiviti dilakukan dalam markas itu tidak pula diketahui selepas replika yang menjadi keagungan ahli kumpulan berkenaan serta dewan besar sudah dirobohkan pihak berkuasa.“Dahulu, upacara seperti ratib kuat dan pemujaan terhadap Ayah Pin dalam perkampungan itu boleh didengari penduduk berhampiran tapi sekarang tidak pula diketahui,” katanya. Penduduk berkenaan berkata, sepanjang kehilangan Ayah Pin, perkampungan yang masih dipagar berduri itu tetap dikawal ketat pengikut kanannya dikenali sebagai Pok Nor dan anak sulungnya dikenali Mamat berusia 40-an.Dia berkata, ada beberapa penduduk yang memang mengenali Ayah Pin mendakwa melihat pemimpin ajaran sesat itu membotakkan kepala dan melarikan diri jika terserempak dengan penduduk kampung. Sementara itu, tinjauan Harian Metro ke perkampungan itu semalam, mendapati kira-kira 10 rumah papan dan separuh batu yang sebelum ini dijadikan tempat tinggal ahli kumpulan itu masih digunakan, malah beberapa kenderaan dilihat selain kelibat kanak-kanak sedang bermain.Sementara itu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Muhammad Ramli Nuh berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan berhubung kemunculan Ayah Pin seperti didakwa penduduk setempat. Katanya, usaha pihak berkuasa agama bagi membantu memulihkan semula akidah dan memberikan pendidikan agama kepada penghuni perkampungan itu tidak mendapat kerjasama menyebabkan tindakan pemulihan sukar dilakukan.Mengenai menempatkan tenaga pengajar di kalangan ulama di kawasan berkenaan bagi memulihkan bekas pengikut ajaran sesat itu, katanya, tindakan terbabit tidak perlu. “Kami sudah melakukan usaha (memulihkan akidah) penghuni perkampungan itu tetapi mereka tidak memberikan kerjasama,” katanya.Ajaran Ayah Pin itu difatwakan sesat oleh Jawatankuasa Fatwa, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu mengikut Seksyen 25 Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam 1986.

Murahnya Aqidah Umat Islam Masa kini-Malaysiakini

KUALA LUMPUR: Hanya mahu mendapatkan wang mudah, seorang wanita sanggup menjual agama dengan mengisytiharkan dirinya murtad melalui SMS untuk memperdaya orang ramai supaya memberi derma kepadanya. Difahamkan, wanita terbabit menghantar SMS secara rambang kepada pemilik telefon bimbit kononnya terpaksa keluar daripada Islam kerana kesempitan wang dan tekanan keluarga. Melalui SMS yang disebarkan itu, dia cuba menagih simpati orang ramai membantunya menghulurkan wang sara hidup bagi menyelamatkannya daripada memeluk agama lain. Tindakan itu ternyata berjaya memperdaya beberapa pemilik telefon bimbit yang sanggup memberikan wang kepadanya semata-mata bagi menyelamatkan akidahnya. Ini didedahkan Timbalan Pengerusi Pertubuhan Sahabat Insan dan Iman Malaysia (Sidim), Ahmadi Baharudin, selepas menerima aduan berhubung penyebaran SMS berkenaan yang diterima beberapa rakan, baru-baru ini. Menurutnya, wanita terbabit menghantar mesej dengan kata-kata ‘saya kecewa dengan orang kita (Islam) tidak boleh membantu saya yang hidup susah. Tapi bila saya minta wang dari penganut agama ******** mereka cepat membantu. Saya cabar anda untuk bantu saya jika tidak mahu saya keluar agama Islam. “Sebaik membaca SMS itu, saya terkejut dan tak sangka wanita berkenaan sanggup mengugut mahu keluar Islam hanya kerana kesempitan wang,” katanya.Selepas menerima SMS itu, dia cuba membantu, namun wanita itu enggan mengangkat panggilan telefon.“Apa yang pelik, dia menjawab SMS yang dihantar. Melalui SMS yang dibalas, dia memberitahu mempunyai seorang anak dan hidup dalam kesusahan. “Malah, tindakan suaminya menghilangkan diri turut menyebabkan hidup semakin terhimpit,” katanya ketika ditemui wartawan Harian Metro, semalam.Ahmadi kemudian bertanya mengenai masalah sebenar dan terkejut apabila wanita itu mencemuh dan mempersoalkan Islam. “Dalam SMS itu, dia menyoal mengapa begitu susah untuk mendapatkan bantuan orang Islam sedangkan penganut agama lain mudah memberi bantuan kepadanya.“Dakwanya, dia menemui beberapa orang Islam untuk meminta bantuan, tapi tidak dilayan dan berbeza sekali daripada layanan diterimanya daripada penganut agama ******* yang didakwa lebih prihatin membantunya. “Wanita itu seterusnya mendakwa sedang berurusan dengan seorang pendakwah agama ******* untuk mendapatkan bantuan kewangan,” katanya.Daripada SMS itu juga, wanita itu mencabar Ahmadi dengan menyebut “Kalau betul dan ikhlas membantu dan prihatin sesama umat Islam, bertindaklah segera membantunya sebelum mengambil keputusan keluar Islam dan menjadi murtad.” Wanita berkenaan turut menyertakan sekali nombor akaun bank untuk memudahkan urusan sumbangan kewangan kepadanya kononnya untuk mengelakkannya murtad.Namun, kata Ahmadi, selepas disiasat penghantaran SMS seperti itu satu lagi bentuk penipuan dengan menggunakan agama sebagai modal memperdaya mangsa. “Kejadian itu amat dikesalkan jika individu yang cuba mengutip wang daripada orang ramai itu orang Islam sendiri. Perbuatan itu berdosa besar dan sesat.“Dia tidak sepatutnya mempermainkan agama Islam dan perlu segera bertaubat. Segeralah melakukan solat taubat nasuha dan mengucap dua kalimah syahadah,” katanya.Menurutnya, memeluk agama Islam ialah satu perjanjian atau akad dan seseorang yang sudah berjanji tidak boleh sewenang-wenangnya keluar sesuka hati. ulasan: Betapa mudah dan murahnya aqidah umat islam pada masa kini dengan mudah diperdaya dan ditipu oleh golongan yang jahil murakkab. Nak elak mudah saja, laksanakan islam yang sebenar dalam kehidupan insya Allah selamat.

14 Oktober 2008

Pandangan masyarakat terhadap kegagalan mahsiswa al-azhar-Malaysiakini

Keputusan peperiksaan bagi sesi 2007/2008 kebanyakkannya telah diketahui oleh sebilangan pelajar. Khabar-khabar angin tersebar luas tentang keputusan yang diperolehi tanpa mengetahui sahih atau sebaliknya.
Namun khabar tersebut sudah cukup untuk menggusarkan hati pelajar-pelajar lain yang belum melihat keputusan mereka. Keluhan-keluhan kian kedengaran tanda kerisauan mahasiswa Universiti Al Azhar. Yang pastinya segala penyesalan sudah tidak berguna lagi. Keputusan yang bakal keluar tidak akan dapat diubah melainkan mereka yang masih diberi berpeluang untuk mengambil peperiksaan tambahan yang tertentu.
Pelbagai reaksi dapat dilihat dari mereka yang telah mengetahui keputusan peperiksaan. Wajah ceria sudah pastinya lahir dari mereka yang memperolehi keputusan yang baik. Bahkan begitu juga sebaliknya kepada mereka yang kurang bernasib baik. Lumrah ini sentiasa berulang saban tahun menyaksikan kejayaan dan kegagalan mahasiswa di dalam peperiksaan tahunan. Namun yang pastinya kejayaan dan kegagalan ini akan menjadi buah mulut bagi mereka yang berada di Malaysia terutamanya berita tentang kegagalan.
Situasi peperiksaan di sini memang susah untuk digambarkan kepada mereka yang bukan ahlinya. Selalunya kegagalan mahasiswa Al Azhar menjadi kritikan masyarakat di Malaysia yang mengatakan bahawa ianya berpunca dari kemalasan, kecuaian dan kelekaan pelajar di dalam pelajaran. Bahkan kepada lepasan Al Azhar di Malaysia yang pernah gagal dalam pelajaran di Mesir turut dijadikan hujjah oleh golongan yang berkepentingan, yang kononnya mereka ini tidak perlu disegani oleh masyarakat.
Bagi mereka yang tidak pernah melalui jerih payah pengajian di Mesir, sudah pasti buah mulut akan menjadi lebih enak dan berperisa bila didengari. Inilah yang selalunya didengari sedangkan pada hakikatnya mereka tidak pernah mengalami dan mengetahui keadaan sebenar pengajian di Mesir. Ringkasnya, bahu yang memikul lebih berat dari mata yang memandang.
Justeru itu, setiap kenyataan yang akan dilafazkan berkenaan dengan sesuatu perkara seharusnya dikaji dan dipastikan terlebih dahulu. Kegagalan seseorang di dalam pelajaran bukanlah antara sesuatu perkara yang diharapkan. Mustahil seseorang yang melakukan sesuatu perkara inginkan kegagalan sebagai hasil kerja yang dilakukan. Sudah pasti setiap manusia inginkan kejayaan di dalam setiap perkara. Begitu juga kami, mahasiswa Universiti AL Azhar di Mesir.

Jom Gerakkan BKKIMM Kembali

Antara kesulitan yang dialami oleh persatuan dalam melaksanakan gerak kerja ialah kekurangan tenaga kerja bagi menjayakan projek. Seringkali program-program yang dianjurkan oleh persatuan digerakkan oleh tenaga-tenaga yang sama. Bukan disebabkan oleh ketiadaan pelapis untuk menggantikan tugas, tetapi disebabkan keengganan pelajar untuk menerima tanggungjawab yang diberikan kepada mereka. Sekiranya diteliti dari pelbagai sudut, pasti akan menemui bahawa gerak kerja yang dijalankan dalam persatuan akan memberikan manfaat yang amat berguna. Sebaik sahaja tiba musim cuti, masing-masing selalunya mempunyai agenda tersendiri bagi memenuhi masa yang terluang. Tetapi, selalunya perkara-perkara yang diisi lebih kepada keseronokan dan kepuasan diri dengan peningkatan waktu tidur, berbual kosong, bermain internet atau game, aktiviti sukan yang melampau, travel yang tak berkesudahan dan sebagainya. Sedangkan keterlibatan diri dalam persatuan lebih kepada meningkatkan kemahiran dan jati diri dalam segenap sudut. Di samping melatih diri dalam berorganisasi, bahkan turut menjanakan thaqafah dengan program-program ilmiah yang dianjurkan oleh pihak persatuan. Dengan aktiviti yang lebih kepada kerjasama antara ahli, akan mengeratkan lagi silaturrahim di samping memudahkan gerak kerja dalam menjayakan sesuatu program. Selalunya, kerjasama di dalam persatuan adalah secara berterusan dari bermulanya perlaksanaan sesuatu program sehinggalah ianya berakhir. Sikap tolong-menolong dapat dilihat dengan lebih jelas bahkan turut menghasilkan kemesraan dan suasana harmoni. Ukhuwah inilah yang akan diikat sehingga tamat pengajian dan sudah semestinya akan saling ziarah-menziarahi walaupun masing-masing sudah berumahtangga. Berapa ramaikah yang berani dan tenang apabila berhadapan suatu jemaah? Selalunya diri akan berasa gementar dengan darah yang gemuruh sehingga menyebabkan tubuh bergigil apabila berdepan dengan hadirin yang ramai. Tidakkan dengan melibatkan diri di dalam persatuan akan sentiasa berada di dalam situasai begini? Sudah pasti dengan penglibatan yang berterusan akan berjaya mengikis sedikit demi sedikit ketakutan apabila berdepan dengan hadirin yang ramai. Bak kata pepatah melayu "alah bisa, tegal biasa". Dengan keterlibatan inilah akan menambahkan lagi keyakinan di dalam diri untuk menghadapai sebarang kemungkinan yang berlaku. Oleh yang demikian, jelaslah sebenarnya tenaga mahasiswa di dalam persatuan amat-amat diperlukan bagi meringankan beban yang dipikul oleh sahabat yang lain. Siapa lagi jikalau bukan anda sahaja yang mampu menolong mereka...

BAGI YANG BAKAL KE UNIVERSITI AL AZHAR -Malaysiakini

Kenaikan harga pengurusan Universiti Al Azhar di bahagian pelajar agak mengejutkan warga Malaysia di sini. Dahulunya, institusi inilah yang terkenal dengan pengajian yang termurah dari segi perbelanjaan kemasukan dan belanja tahunan. Masing-masing menganggarkan berbagai tanggapan mengenai sebab-sebab kenaikan yang mendadak ini. Bahkan salah satu akhbar di Mesir mengeluarkan kenyataan tentang sistem pengurusan Al Azhar yang kurang sistematik walaupun telah dinaikkan harga pengurusan. Rungutan pelajar kerap kali kedengaran setiap kali berjumpa rakan-rakan. Masing-masing melahirkan tidak puas hati dengan pengurusan di bahagian pelajar yang masih tergendala walaupun peperiksaan sudah bermula. Ditambah pula dengan gelagat nakal pelajar bangsa arab yang cukup membosankan ketika mereka membuat urusan. Kadang kala penantian seharian untuk membuat kad pelajar menjadi sia-sia walau sudah lama menunggu. Dengan mudah sahaja pegawai terbabit menyatakan "datang esok!". Bukan sekali, bahkan berkali-kali kejadian seperti ini berlaku. Bagi anda yang bukan belajar di sini, pasti susah untuk menggambarkan keadaan yang berlaku, memandangkan pengurusan IPT di Malaysia lebih teratur dan sistematik berbanding pengurusan di sini. Agak tidak melampau jika dikatakan "bagai langit dan bumi" perbandingan pengurusan di sini dengan IPT di Malaysia. Bagi pelajar lama yang sudah bertahun-tahun di sini, kejadian seperti ini adalah perkara biasa. Namun, kenaikan mengejut harga pengurusan bahagian pelajar ini yang dikatakan agak luar biasa berbanding tahun-tahun yang lalu. Walau bagaimanapun, catatan ini bukan untuk melemahkan semangat mereka yang ingin datang ke Mesir. Bahkan ini sebagai persiapan diri supaya anda lebih bersiap sedia dengan kesabaran dan keikhlasan yang tinggi sebelum menjejakkan kaki ke bumi para nabi ini. Mungkin pengurusan di bahagian pelajar agak memboringkan namun, ianya dapat dicari ganti dengan keilmuan para ulamak yang dikagumi bagi mereka yang benar-benar ingin mengaut ilmu pengetahuan di sini. Bahkan lebih ramai lagi ulamak-ulamak di merata-rata tempat yang sanggup mencurah keilmuan mereka secara percuma kepada yang menginginkan. Cuma diri sendiri sahaja penentu sama ada mahu ataupun tidak. Bahkan, sepatutnya bukan nilai harga pengurusan yang tinggi yang patut dijadikan sebagai alasan. Kerana agak berbaloi dengan thaqafah yang dicurahkan oleh pensyarah-pensyarah di kelas pengajian. Yang pastinya, ikhlaskan niat dan kembali kepada matlamat utama anda ke Universiti.