14 Oktober 2008

Pandangan masyarakat terhadap kegagalan mahsiswa al-azhar-Malaysiakini

Keputusan peperiksaan bagi sesi 2007/2008 kebanyakkannya telah diketahui oleh sebilangan pelajar. Khabar-khabar angin tersebar luas tentang keputusan yang diperolehi tanpa mengetahui sahih atau sebaliknya.
Namun khabar tersebut sudah cukup untuk menggusarkan hati pelajar-pelajar lain yang belum melihat keputusan mereka. Keluhan-keluhan kian kedengaran tanda kerisauan mahasiswa Universiti Al Azhar. Yang pastinya segala penyesalan sudah tidak berguna lagi. Keputusan yang bakal keluar tidak akan dapat diubah melainkan mereka yang masih diberi berpeluang untuk mengambil peperiksaan tambahan yang tertentu.
Pelbagai reaksi dapat dilihat dari mereka yang telah mengetahui keputusan peperiksaan. Wajah ceria sudah pastinya lahir dari mereka yang memperolehi keputusan yang baik. Bahkan begitu juga sebaliknya kepada mereka yang kurang bernasib baik. Lumrah ini sentiasa berulang saban tahun menyaksikan kejayaan dan kegagalan mahasiswa di dalam peperiksaan tahunan. Namun yang pastinya kejayaan dan kegagalan ini akan menjadi buah mulut bagi mereka yang berada di Malaysia terutamanya berita tentang kegagalan.
Situasi peperiksaan di sini memang susah untuk digambarkan kepada mereka yang bukan ahlinya. Selalunya kegagalan mahasiswa Al Azhar menjadi kritikan masyarakat di Malaysia yang mengatakan bahawa ianya berpunca dari kemalasan, kecuaian dan kelekaan pelajar di dalam pelajaran. Bahkan kepada lepasan Al Azhar di Malaysia yang pernah gagal dalam pelajaran di Mesir turut dijadikan hujjah oleh golongan yang berkepentingan, yang kononnya mereka ini tidak perlu disegani oleh masyarakat.
Bagi mereka yang tidak pernah melalui jerih payah pengajian di Mesir, sudah pasti buah mulut akan menjadi lebih enak dan berperisa bila didengari. Inilah yang selalunya didengari sedangkan pada hakikatnya mereka tidak pernah mengalami dan mengetahui keadaan sebenar pengajian di Mesir. Ringkasnya, bahu yang memikul lebih berat dari mata yang memandang.
Justeru itu, setiap kenyataan yang akan dilafazkan berkenaan dengan sesuatu perkara seharusnya dikaji dan dipastikan terlebih dahulu. Kegagalan seseorang di dalam pelajaran bukanlah antara sesuatu perkara yang diharapkan. Mustahil seseorang yang melakukan sesuatu perkara inginkan kegagalan sebagai hasil kerja yang dilakukan. Sudah pasti setiap manusia inginkan kejayaan di dalam setiap perkara. Begitu juga kami, mahasiswa Universiti AL Azhar di Mesir.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan