15 April 2009

Kursus Terpaksa ??

HANYA kerana ingin memberontak, tidak berpuas hati dan terpaksa mengambil kursus kurang diminati, sesetengah pelajar sanggup menggadaikan masa depan serta mensia-siakan peluang yang diberikan.Disebabkan tidak berminat dengan kursus terbabit, sesetengah pelajar sanggup belajar separuh jalan. Ada juga enggan belajar bersungguh-sungguh dan gagal dalam peperiksaan.Situasi itu bukan saja memberi kesan negatif kepada pelajaran, tetapi menggelapkan peluang mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.Kenapa perkara ini perlu berlaku? Bukanlah setiap apa yang dipelajari itu adalah ilmu dan harus dihargai? Jika faktor minat, bukankah ia boleh dipupuk? Pensyarah Fakulti Undang-Undang, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Datin Nor Aziah Mohd Awal, berkata tidak dinafikan dalam pemilihan kursus, minat adalah paling utama. Menurutnya, jika seseorang itu meminati apa yang dilakukan, ia memberikan hasil yang terbaik."Namun, tanpa minat, seseorang itu boleh berjaya jika dia belajar bersungguh-sungguh dan menerima apa yang dipelajari dengan hati yang terbuka."Selain itu, minat juga akan datang dengan sendirinya jika mengenali kursus itu dan tahu apa kelebihannya," katanya.Nor Aziah berkata, sebagai seorang pelajar, mencari ilmu adalah satu tanggungjawab dan ia perlu dilaksanakan dengan sempurna. "Walaupun pada awalnya mungkin ia tidak boleh diteruskan, cuba perlahan-lahan tanam minat itu dan menjadikannya sebagai satu keperluan yang perlu lakukan."Ini mungkin membantu dalam meringankan beban pelajar yang tertekan kerana terpaksa mengikuti kursus yang tidak diminati," katanya.Di samping itu, katanya, tidak semestinya masa depan seorang pelajar itu gelap hanya mengikuti kursus yang tidak diminati. "Kursus yang diambil bukanlah penentu kerjaya selepas menamatkan pengajian. Ini kerana, dalam era globalisasii, bidang kerjaya sangat meluas dan ia bukan hanya berlandaskan kepada sijil atau diploma."Malah, ahli perniagaan, korporat atau mereka yang berjaya hari ini bukan semua mengikuti kursus yang diminati. "Namun, kerana ingin berjaya, mereka meneruskan kursus terbabit dan mengejar cita-cita mereka selepas menamatkan pengajian," katanya.Bagi pelajar yang menerima tawaran kursus yang tidak diminati dan tiada keinginan berjaya, Nor Aziah menasihatkan mereka memberi peluang itu kepada orang lain. "Jika tidak boleh menerima kursus itu, janganlah membuang masa anda kerana ramai lagi yang berminat mengikutinya," katanya.Seorang bekas mahasiswa, Mazlina Abu Bakar, 30, berkata tidak rugi mempelajari kursus yang tidak diminati walaupun terpaksa atau dipaksa. Dia yang juga terpaksa mengikuti kursus yang tidak diminati, berkata ilmu yang diperoleh itu mungkin berguna di kemudian hari walaupun bidang itu menyimpang dari kursus yang diikuti."Tidak semestinya kita menghabiskan masa bertahun-tahun mengikuti kursus yang tidak diminati, sia-sia saja."Mungkin ia tidak sesuai dengan kerjaya yang dijawat sekarang, tetapi dalam kehidupan seharian, sedikit sebanyak ilmu itu akan berguna," katanya. Mazlina mengambil bidang kedoktoran sedangkan meminati bidang penyiaran."Walaupun tidak menjadi doktor, saya masih boleh mengaplikasikan ilmu perubatan dalam kehidupan seharian. "Ilmu perubatan saya gunakan dalam masa kecemasan," katanya yang kini sudah membuka syarikat produksi sendiri.Sebagai bekas pelajar yang pernah tertekan dengan kursus yang tidak diminati, Mazlina menasihatkan pelajar senasib meneruskan kursus yang ditawarkan itu.Sebagai pelajar, kita perlu menerima ilmu yang diperoleh. Jangan kerana tidak minat, kita mensia-siakan masa depan."Dengan kelulusan dari kursus yang tidak diminati, ia seperti batu loncatan mencapai cita-cita dan merealisasikan impian selama ini," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan