13 September 2007
Syeikh Nuruddin Bakal Tiba Di Mesir Tidak Lama Lagi
Kedatangan ulama besar Melayu yang tidak asing lagi bagi warga mahasiswa Malaysia di bumi Mesir ini sangat dinanti-nantikan oleh keseluruhan pelajar di sini. Syeikh Muhammad Nuruddin Marbu al-Banjari al-Makki, seorang ulama yang terkemuka yang tidak jemu-jemu meluangkan masa untuk para pelajar di bumi Kinanah ini akan tiba di Mesir tidak lama lagi.
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) sekali lagi mengalu-alukan kedatangan Fadhilat Al-Syeikh Muhammad Nuruddin al-Banjari al-Makki ke bumi Kinanah ini. Syeikh Muhammad Nuruddin Al-Banjari Al-Makki dijangkakan akan tiba di bumi Mesir ini pada 13 September 2007 ini bersamaan 1 Ramadhan 1428H. Pengajian beliau akan dimulakan pada 15 September 2007. Kitab-kitab yang akan dibaca oleh beliau sebahagiannya adalah sambungan daripada kitab-kitab yang lepas. Antara kitab-kitab tersebut adalah Tahzib Mishkat Al-Masabih, Al-I’tibar Fi Al-Nasikh Wal Mansukh, Khususiyat Al-Rasul dan lain-lain. Kepada para pelajar yang masih belum mempunyai kitab boleh mendapatkan di kaunter penjualan kitab di tempat pengajian nanti.
Lokasi pengajian akan dimaklumkan selepas ini. Pihak PMRAM mendahulukan jutaan terima kasih kepada pihak-pihak yang bakal membantu PMRAM di dalam melancarkan majlis pengajian ini. Semoga semua para penuntut yang cintakan ilmu Allah S.A.W. ini dapat menggunakan peluang keemasan ini dengan sebaik-baiknya.
06 September 2007
50 Tahun Kemerdekaan Akan Datang : Belia Galas Tugas Penting - Salahuddin
Saya bersama rakyat Malaysia seluruhnya sama ada golongan muda atau tua tidak kira Agama, Bangsa atau keturunan amat merasa bersyukur di atas tarikh keramat pada hari ini. Sudah tiba hari kemerdekaan kita mencecah 50 tahun kemerdekaan Negara yang telah kita capai, kini akan masuk pula fasa kedua 50 tahun kemerdekaan kita yang akan datang.
Sejarah yang terpapar kepada kita banyak memperlihatkan semangat orang muda untuk memastikan perubahan, orang muda melihat kerja-kerja untuk membebaskan Negara pada masa itu amat yakin ianya sebagai tuntutan Agama untuk memastikan Bangsa dan Negaranya yang berdaulat. Pada hari ini kita semua harus mengukur tahap diri kita dari sudut mengamalkan Agama, memartabatkan Bangsa & memajukan Negara kita. Saya merasakan orang muda kini begitu terhakis ketiga-tiga perkara tersebut, bermula saat ini saya berharap perubahan harus kita mulakan dengan berani.
Sudut Agama bagi orang muda sekarang amat merisaukan masyarakat kita, bahaya gejala sosial dan keruntuhan akhlak mempunyai angka yang paling besar dalam penyakit masyarakat yang di bawa oleh muda-mudi kita. Tiada satu formula yang diketengahkan untuk menyembuh penyakit ini, yang ada hanya menambahkan dan mengembangkan penyakit-penyakit yang sedia ada. Saya amat yakin dengan berteraskan Agama, penyakit-penyakit tersebut akan dapat diubati.
Manakala sudut Bangsa pula kelihatan seperti proses kehakisan yang akan menghilangkan identiti bangsa itu sendiri, ianya bermula setelah sistem pendidikan bangsa itu tidak dibenarkan untuk sebagai pembelajaran di sekolah. Saya sebagai rakyat yang merdeka mengharapkan semua Bangsa dapat membina identiti Bangsanya sendiri tanpa halangan yang telah dibuat. Setiap Bangsa atau keturunan itu sebenarnya sebagai keunikan yang tiada tolok bandingnya, maka peliharalah identiti Bangsa dan keturunan kita semua.
Bagi sudut Negara pula kita melihat akan ketirisan sistem penyampai yang amat ketara bermula dengan penyakit rasuah, walaupun pelbagai andaian bahawa penyakit ini masih dalam peringkat kawalan tetapi masalah yang ada bermulakannya daripada ahli politik dan juga pegawai tinggi kerajaan. Mereka inilah yang sedang mengurus Negara kita, disebabkan penyakit ini dalam sedar atau tidak sedar Negara menjadi pertaruhan. Dengan menjual saham dalam syarikat atau membenarkan warga asing menjadi pengurus syarikat demi memajukan Negara, sebagai memastikan Negara lebih maju dan berdaya saing. Tetapi dengan cara inilah penjajahan-penjajahan kekuasaan dan pemikiran telah menjadikan diri kita semua kembali di jajah.
Saya menyeru semua golongan muda-mudi membina sakhsiah diri bagi menghadapi pelbagai cabaran yang akan datang. Tidak kira Agama, Bangsa atau keturunan mesti melihat asas pendidikan Agama menjadi teras. Saya sebagai seorang yang beragama Islam sudah tentu mahu kearah kebaikan dan yakin tiada Agama yang mahu merosakkannya, maka kita semua mesti menjadikannya sebagai panduan untuk menguruskan Negara yang tercinta ini. Bermula dengan diri kita baik dan seterusnya masyarakat kita juga akan baik, akan terpiliharalah Negara di bawah pemerintahan kita sendiri. Selamat menyambut 50 tahun kemerdekaan Malaysia, Malaysiaku Gemilang.
YB. SALAHUDDIN AYUB
02 September 2007
Usaha sebelum TawaKaL
KEFAHAMAN adalah syarat utama dalam menuntut ilmu. Bila faham baru dapat ilmu dan apabila hendak beramal kalau tidak faham tidak menepati peraturan.
Ada ramai orang Islam silap faham mengenai tawakal. Mereka yang tidak faham ini sering menyalahkan keadaan apabila gagal atau tidak berjaya dalam satu-satu usaha.
Semua orang disalahkannya sehingga Allah pun turut dipersalahkan. Masyarakat Islam awal mencipta kecemerlangan kerana faham “tawakal” yang betul.
Tawakal maknanya ialah menjadikan Allah sebagai wakil dan berserah kepada-Nya dalam menentukan segala ketentuan. Reda adalah hasil daripada keyakinan jitu terhadap ketentuan Allah.
Tawakal diawali dengan usaha dan kemudian barulah berserah kepada Allah. Tawakal juga mengajar kita budaya berstrategi.
Kalangan Rasul walau pun mereka mendapat pertolongan Allah, mereka tidak pernah terkecuali daripada merancang dan berusaha.
Nabi Muhammad s.a.w. merancang dalam peristiwa hijrah walau pun Allah melindungi baginda, bersembunyi di Gua Thur, menggunakan khidmat dan kepakaran orang walau pun seorang yang kafir kerana beliau tahu jalan sulit ke Madinah.
Dimintanya Saidina Ali tidur di bilik tidurnya. Itu semua usaha yang akhirnya baginda bertawakal dan Allah menentukan kemenangan.
Nabi Yusuf apabila mendapat mimpi raja, baginda mula merancang berjimat dan menyimpan selama tujuh tahun dan apabila datang kemarau selama tujuh tahun akhirnya negeri baginda terselamat daripada kemarau.
Mereka tawakal dan berserah selepas berusaha serta merancang. Begitu juga dengan Zulkarnain dalam menghadapi Yakjud dan Makjud, Allah memerintahkannya membina tembok sebagai menghadapi kejahatan bangsa itu dan mereka bertawakal akhirnya mereka selamat.
Orang sakit memang mesti berserah kepada Allah tetapi sebelum bertawakal mereka sepatutnya terlebih dulu berusaha dan merawat dengan mencari ubat dan berjumpa doktor. Selepas itu berserahlah kepada Allah sebab yang menyembuh ialah Allah.
Kita sering melihat orang berjoging dan bersenam. Jika ditanya, kenapa mereka beriadah, jawapan mereka ialah supaya badan sihat. Itulah makna tawakal iaitu berusaha.
Hari ini ibu bapa sangat mengambil berat pelajaran anak, dicarinya kelas tuisyen dan dipanggilnya guru ke rumah kerana pelajaran adalah aset masa depan anak. Tanpa disedari sebenarnya ibu bapa itu sedang menterjemahkan makna tawakal.
Duduk saja tanpa berusaha adalah adalah fahaman yang dangkal. “Nak buat macam mana cikgu, anak saya memang sudah dilahirkan bodoh.”
Berteriak sana-sini “kenapa umat Islam hari ini lemah” tanpa berbuat sesuatu adalah slogan kosong seperti anjing menyalak bukit.
Satu hari seorang sahabat datang berjumpa Rasul. Apabila baginda bertanya bagaimana kamu datang, beliau menjawab, menaiki unta. Nabi tanya; di mana unta kamu, beliau menjawab saya biarkan tanpa diikat sebab saya bertawakal kepada Allah. Nabi berkata; ikat unta kamu dulu dan barulah bertawakal.
Ikat di sini maknanya berusaha dan berbuat sesuatu supaya unta tidak dapat lari. Orang yang bertawakal sebenarnya sedang beribadat. Itulah namanya ibadat hati. Yakin dengan bantuan Allah selepas bersusah adalah akhlak di kalangan nabi.
Mereka yang bertawakal tidak ego dan lupa diri selepas mendapat apa yang dihajati. Sebab segala yang diperoleh itu adalah pemberian daripada Allah.
Orang yang bertawakal tidak akan berputus asa kerana belum usaha belum tahu. Peribahasa Melayu “hendak seribu daya tidak hendak seribu dalih” patut ditukar kepada “hendak seribu daya mahu seribu cara.”
Mesti perbanyakkan cara dan bukannya perbanyakkan dalih, jika kita umat Islam mahu mencapai kecemerlangan.
Ibadat tak kenal usia
DI sebalik keajaiban peristiwa Israk Mikraj, tersingkap seribu satu pengertian yang sewajarnya direnung dan diambil pengajaran supaya dapat memperteguhkan lagi keimanan, memupuk ketakwaan dan memotivasikan diri beribadat.
Penceramah bebas, Ustaz Daud Che Ngah, berkata peristiwa itu sendiri antara lain memperlihatkan kepada umat Islam mengenai penghijrahan roh.
“Roh pertamanya berada di dalam simpanan Allah, kemudian di dalam rahim ibu dan apabila cukup tempohnya di dalam satu jasad dan lahirlah ke dunia.
“Ini menunjukkan badan (jasad) mesti mengikut roh. Jadi, apabila mengucap kalimah syahadah iaitu mengaku diri orang Islam kenalah ikut seperti diakui, melakukan amalan yang difardukannya,” katanya dalam satu siri ceramah di surau The New Straits Times Press (NSTP), Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Firman Allah dalam surah az-Dzariyaat, ayat 56, bermaksud: “Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah-Ku.”
Menurut Daud, ayat itu sangat jelas merujuk kepada tanggungjawab utama manusia iaitu beribadat kepada Allah.
“Selepas mengaku Muslim, solat kemudian berpuasa, malam juga digalakkan banyak mengerjakan solat, disuruh bayar zakat, haji dan umrah,” katanya sambil menegaskan kepentingan ibadat solat.
“Solat diperintahkan Allah kepada Rasulullah s.a.w melalui Israk Mikraj untuk dilakukan seisi umat Islam, daripada 50 waktu tinggal saja lima waktu, tetapi ganjarannya tetap berganda.
“Ibadat solat adalah paling penting bagi Muslim dan janganlah kita meninggalkannya dengan sewenang-wenangnya, kerana bukan mudah untuk menggantikannya, malah amat rugi usia berlalu sia-sia saja.
“Apabila sampai umur iaitu baligh, laksanakanlah amal ibadat seperti difardukan, jangan tunggu usia tua atau bagi sesetengah orang sehingga umur 40 tahun baru mahu berubah menjadi rajin,” katanya.
Menurutnya, beribadat kepada Allah perlu dilakukan dengan bersungguh-sungguh dan hati yang ikhlas, bukannya secara sambil lewa serta bermusim saja kerana semuanya akan dihitung.
“Janganlah apabila sudah terlambat baru mahu menyesal dan sedar, ingin melakukan amal ibadat,” katanya.
“Sekiranya engkau melihat ketika orang yang berdosa itu menundukkan kepala di hadapan Tuhan mereka sambil berkata: Ya Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar, maka kembalikanlah kami ke dunia agar kami mengerjakan amal soleh, sesungguhnya kami sekarang telah yakin dan beriman.” (as-Sajdah: 12)
Langgan:
Catatan (Atom)