Memaparkan catatan dengan label PMRAM. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label PMRAM. Papar semua catatan

18 November 2008

PRISMA KELUARAN KELIMA DAH TERBIT-Malaysiakini

Badan Penerangan dan Penerbitan (BPP) PMRAM menerbitkan risalah PRISMA bagi bilangan kelima untuk sesi ini dengan memuatkan beberapa berita ringkas yang berkaitan aktiviti PMRAM. Anggota Badan Pengurus PMRAM, Ustaz Muhammad Abdul Malik Abdul Karim berkata, pihaknya tetap mengeluarkan risalah untuk sebaran umum walaupun web rasmi PMRAM telah beroperasi. "PMRAM tidak boleh bergantung kepada web semata-mata kerana dengan penyebaran risalah, kesannya lebih dirasai terutama bagi mereka yang sukar melayari web PMRAM, dengan penyebaran risalah ini sedikit sebanyak akan memberi maklumat kepada ahli," ujar beliau. Menurut beliau, dengan cetakan antara 400 hingga 500 naskhah pada setiap keluaran, pihaknya tidak mampu menyampaikannya kepada semua ahli PMRAM yang mencapai angka ribuan kini. "Walau bagaimanapun pihaknya cuba mengedarkan dengan jumlah yang terhad kepada seluruh BKAN dan DPM. "Jadi kita amat mengaharpkan agar ahli dapat menghargai setiap helaian PRISMA yang dikeluarkan kerana ia adalah antara sebaran PMRAM," ulas beliau lagi. PRISMA diterbitkan oleh Unit PRISMA yang diletakkan di bawah Urusetia Penerangan Umum (UPU) di bawah Badan Penerangan dan Penerbitan PMRAM dan diedarkan secara percuma. Unit lain yang berada di bawah BPP ialah WARTA (majalah berkala), Unit Web, PMRAM Multimedia Centre (PMC) dan Kem Latihan Penulis (KELAP) selain Urusetia Penerangan Umum (UPU).

PMRAM INGATKAN MAHASISWA JAGA KESELAMATAN DIRI -MALAYSIAKINI

Presiden PMRAM, Ustaz Khairul Anuar Ismail mengingatkan kepada sekalian mahasiswa dan mahasiswi supaya mengambil berat faktor keselamatan di Mesir kerana ia membabitkan pihak keselamatan. Tanpa merujuk mana-mana insiden, dalam kenyataan terbarunya itu, beliau mengingatkan visa dan pasport adalah perkara utama yang perlu diambil perhatian sewaktu berada di Mesir bahkan di mana-mana negara. Tarikh tamat visa (iqamah) dan pasport perlu diambil perhatian yang serius. Perkara lain yang harus diberi perhatian juga ialah hubungan dengan warga Arab yang lebih perlu berhati-hati. "Sesetengah kita gemar belajar dan mengaji dengan guru-guru warga Arab atau menghadiri kelas pengajian mereka tanpa pengetahuan PMRAM, yang kita tidak ketahui status guru tersebut di sisi pihak keselamatan Mesir, ia amat membahayakan," ujar beliau. Oleh itu, pihak PMRAM menasihati agar para mahasiswa dan mahasiswi tidak menghadiri majlis pengajian atau program yang melibatkan warga Arab khasnya selain anjuran PMRAM. "Ini kerana majlis di bawah anjuran PMRAM, pihak PMRAM terlebih dahulu akan memaklumkan nama pengisi kepada pihak keselamatan Mesir dan sebarang program PMRAM adalah dalam makluman pihak polis," jelas beliau lagi. Untuk makluman, Mesir adalah negara yang masih diperintah di bawah undang-undang tentera dan pihak keselamatan boleh menahan sesiapa jua yang disyakinya dengan apa jua jenis kesalahan yang boleh disabitkan. Antara kesalahan yang dikategorikan "amat berat" ialah melibatkan diri dalam aktiviti menentang kerajaan atau gerakan-gerakan politik yang anti-kerajaan.
Justeru, pihak PMRAM mengharapkan agar mahasiswa dan mahasiswi Malaysia tidak melibatkan diri langsung dalam kegiatan tersebut kerana niat dan tujuan utama kita ke Mesir ialah untuk menuntut ilmu.