26 September 2008

DARI LAMAN PMRAM : AL-FATIHAH UNTUK ARWAH AZUAN

Warga PMRAM khasnya telah dikejutkan dengan berita kembalinya ke rahmatullah Allahyarham Ustaz Mohd Azuan Shamsudin pada 14 Ogos lalu akibat sakit paru-paru. Allahyarham berasal dari Terengganu sebelum ini adalah mahasiswa Qiraat di Maahad Shoubra yang amat aktif dalam menyumbangkan tenaganya untuk PMRAM. Beliau antara tenaga penggerak dalam PMRAM Multimedia Centre (PMC). Pemergian Allahyarham turut dirasai oleh teman-teman seperjuangan termasuk dalam Keluarga Penuntut Terengganu (KPT) kerana Allahyarham sebelum ini pernah dipilih sebagai Exco KPT. Allahyarham meninggalkan seorang balu serta dua orang anak. Salah seorang teman Allahyarham, Ustaz Muhammad Al-Hafiz Zulkifli ketika dihubungi melahirkan rasa terkejut atas berita kehilangannya. Menurut Ustaz Al-Hafiz yang mengenali Allahyarham sewaktu bertugas sebagai AJK PMC menyifatkan Allahyarham seorang yang peramah dan amat komit dengan tugas.Seorang lagi teman Allahyarham iaitu Ustaz Syed Aisam Syed Idris dari Perlis ketika dihubungi baru-baru ini meyifatkan Allahyarham amat mudah untuk didekati. Beliau yang mengenali Allahyarham sewaktu bertugas dalam PMC turut memuji sikap yang Allahyarham tunjukkan sewaktu bekerja bersama PMRAM.
“Allahyarham yang saya kenal, beliau bekerja dengan PMC seingat saya bermula tahun pertama hingga tamat pengajian di Shoubra. Walaupun beliau berkahwin dalam tempoh pengajian, tidak menjadikan sebab untuk beliau tidak lagi bekerja,” ujar Ustaz Syed Aisam lagi. Walaupun menuntut di Shoubra, Allahyarham tidak pernah menolak tanggungjawab beliau hingga dilantik menjadi AJKT KPT.Semoga Allah m.encucuri rahmatNya ke atas roh beliau. Bagi sesiapa yang membaca atau terbaca artikel ini, marilah sama-sama kita sedekahkan Al-Fatihah untuk Allahyarham.Al-Fatihah..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan