20 Oktober 2007

Ayam Babi ????

Harian Metro (Ahad, 23 September, 2007), mendedahkan perihal 'ayam babi' yang mana terdapat 'enzim' dari babi digunakan untuk mempercepatkan tumbesaran ayam. Sehingga kelmarin, barulah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menubuhkan jawatankuasa khas untuk menyiasat dakwaan mengenai penggunaan bahan yang tidak halal dalam produk makanan ayam yang diternak di negara ini. Jawatankuasa khas itu dianggotai oleh pegawai Jabatan Perkhidmatan Haiwan (JPH) dan Universiti Putra Malaysia (UPM), bertanggungjawab mengumpul sampel makanan ayam digunakan penternak untuk dianalisis Jabatan Kimia dan Institut Penyelidikan Halal Ini adalah kerana menurut Pegawai Penyelidik CAP, Hatijah Hashim, enzim yang digunakan 'canggih' dan perlu ujian makmal yang sukar dan mahal kosnya. Enzim tersebut digunakan secara meluas di negara-negara Eropah, Amerika Syarikat, Brazil dan China. Sumber Jakim juga menyebut, JPH mengawal ketat kemasukan makanan ayam dari luar negara malah pemantauan juga mendapati tiada makanan ayam dari Eropah yang mengandungi enzim babi diimport ke Malaysia. Namun sehingga kini belum pernah dibuat kajian berkenaan 'enzim babi' ini oleh mana-mana pihak samada Jakim atau JPH Kerajaan terlalu lambat bertindak tentang isu ini walaupun FOMCA telah meminta pihak berkenaan membuat siasatan menyeluruh terhadap ayam samada yang dijual di pasar atau di ladang ternakan. Pengarah Komunikasi FOMCA, Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, FOMCA memandang serius perkara ini dan membantah penggunaan pelbagai antibiotik, vaksin atau hormon, kerana ia boleh memberi kesan sampingan. Gesaan FOMCA juga telah dibuat sebulan yang lalu sumber : persatuan pengguna islam Malaysia

Pro Mahasiswa berjaya pertahankan kemenangan di UIAM

Kumpulan Pro Mahasiswa berjaya mempertahankan kemenangan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Pro Mahasiswa memenangi 19 daripada 27 kerusi yang dipertandingkan yang melayakkan mereka untuk terus menerajui kepimpinan Student Representative Council (SRC) sesi 2007/2008. Di Kampus Induk Gombak, mereka berjaya di Kuliyyah Undang-undang, Kejuruteraan, Ilmu Wahyu, Ekonomi, Sains, Antarabangsa, Kejururawatan dan Sains Kesihatan Bersekutu. Namun, mereka tewas di Kuliyyah Teknologi Komunikasi Maklumat dan hanya menang satu kerusi di Kuliyyah Senibina. Walaupun terpaksa melalui proses penamaan semula pada 30 September lalu, mereka tetap pasrah lantaran masa kempen yang diperuntukkan hanya lebih satu hari berbanding enam hari di kampus-kampus lain. Keputusan pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) sudah selesai, dan keputusannya sudah dihebahkan. Faktanya: Kumpulan pro-Aspirasi menguasai kembali kampus-kampus kita. Sila layari www.englishsection.com untuk Laman Utama English Section atau www.harakahdaily.net/wap/ untuk melayari HarakahDaily.Net menggunakan telefon bimbit GPRS (General Packet Radio Service) anda. Tetapi masih ada satu persoalan yang belum selesai: Sejak 2004, Universiti Islam Antarabangsa (UIA) masih berjaya ditawan oleh kumpulan beraliran "pro-Mahasiswa", kem pelajar yang dilihat berbeza dengan pro-Aspirasi. Apakah yang menjadikan UIA begitu unik sehingga ia berjaya menjadi kubu terakhir kumpulan pro-Mahasiswa? Dato' Dr Shamsul Amri Baharuddin, pengarah Institut Kajian Oksidental (Ikon), berpendapat latar belakang penubuhan dan semangat UIA sendiri berlainan dengan IPTA lain. Malah, katanya, pergaulan pelajar tempatan dengan luar negara di kampus itu menjadikan mereka lebih global. Mereka juga terdedah dengan jaringan badan-badan belia antarabangsa, tambahnya. "Sifat UIA itu sendiri yang mengutamakan bahasa-bahasa Arab dan Inggeris menjadikan mereka lebih terbuka. Lagi pun universiti Islam menarik sekumpulan pelajar yang mempunyai perwatakan yang lebih kurang sama. Mereka ini berbeza," kata profesor sosiologi itu. Pandangannya ini seolah-olah selari dengan tanggapan pensyarah undang-undang Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Azmi Sharom. "Saya lihat UIA seperti sebuah Akademi Pengajian Islam yang besar," katanya kepada mStar Online. "Lihat akademi ini di Universiti Malaya. Calon-calon pro-Mahasiswa menang tanpa bertanding. Mustahil kumpulan pro-Aspirasi boleh membuka laluan di fakulti ini." Bagaimanapun berbeza sedikit dengan keyakinan Dr Azmi, profesor sosiologi dari Universiti Kebangsaan Malaysia ini tidak begitu yakin pro-Mahasiswa boleh menguasai UIA selama-lamanya. Sementara seorang bekas aktivis siswa Khairul Anuar Ahmad Zainuddin cuba menanggap UIA lebih jauh. Beliau berhujah, jaringan gerakan Islam di kampus itu lebih kuat berbanding di kampus-kampus IPTA lain yang hanya bergantung pada aktivisme dan kepemimpinan barisan Persatuan Mahasiswa Islam (PMI) atau fakulti tertentu. "Mungkin juga ahli-ahli akademik di UIA lebih kritikal, mereka lebih simpati pada kumpulan pro-Mahasiswa," katanya, kini sebagai naib ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat. Selain pengaruh ahli akademik, pegawai pentadbiran kampus termasuk pengetua kolej sekarang dilihat semakin menonjol dalam percaturan politik kampus. Beberapa laporan yang diserahkan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mendakwa campur tangan serius dalam mempengaruhi pelajar untuk menyokong kumpulan calon tertentu. Namun menurut seorang pengamat Suhaimi Embong, sikap memihak Hal Ehwal Pelajar (HEP) bukanlah baru, malah pernah wujud sejak beberapa dekad lalu lagi "tetapi beberapa tahun kebelakangan ini lebih ketara." "Kadang-kadang saya nampak pegawai-pegawai Hal Ehwal Pelajar (HEP) macam tidak ada kerja lain. Mereka lebih ghairah menyusun aktiviti untuk mahasiswa," katanya, yang pernah menghasilkan buku Di Sebalik Tabir Politik Kampus dan kini melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana pengurusan perniagaan. Semua pengamat bersetuju trend pro-Aspirasi yang muncul mulai 2003 dicetuskan sebagai gelombang baru selepas krisis politik 1998, apabila gerakan-gerakan mahasiswa di IPTA semakin berani dan lantang mengkritik kerajaan, termasuk menyusun demonstrasi. Mereka bagaimanapun tidak bersetuju peralihan angin politik ke arah pro-Aspirasi bermakna mahasiswa di IPTA kini menyokong kerajaan. "Mereka bukanlah menyokong sangat. Mereka juga menuntut hak, khususnya hak mendapatkan kemudahan. Jika sokongan ini tidak berbalas, mereka akan marah dan mengugut. Ini satu cara mengugut melalui sokongan," kata Dr Shamsul Amri. "Kita lihat wakil-wakil rakyat Barisan Nasional, bagaimana hebat pun mereka, tetap terima rungutan." Khairul Anuar, seorang pemimpin pelajar IPTA yang ditahan bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 2001, boleh bersetuju dengan hujah ini. "Tidak semestinya pelajar sokong kerajaan apabila mereka mengundi calon Aspirasi," katanya. "Lagi pun pelajar di IPTA sekarang tidak mempedulikan hal-hal politik. Kemunculan kumpulan pro-Aspirasi sekadar perubahan atas kertas. Tidak ada impak perubahan pada sikap atau cara berfikir. Semuanya masih di takuk lama." Tambahnya, masyarakat kampus sendiri tidak ghairah dengan kehadiran pilihan raya kampus. "Hanya media berminat membesar-besarkan berita ini, khususnya kemenangan pro-Aspirasi, sekadar untuk membentuk tanggapan umum masyarakat. Di kampus sendiri, tidak ramai yang keluar mengundi. Banyak calon menang tanpa bertanding. Saat-saat berkempen tidak meriah," dakwanya lagi. Bersetuju dengan analisis ini, Suhaimi pula berpendapat campur tangan pihak luar dalam politik pelajar melemahkan kepemimpinan mereka. "Semuanya diurus oleh orang lain. Macam pelajar-pelajar sekolah," katanya. Dr Azmi membuat tanggapan yang sama. "Bagi saya mahasiswa bak budak sekolah. Jadi, pemilihan MPP ini macam persaingan melantik pengawas sekolah. Umumnya mahasiswa tidak berminat politik," katanya. Sifat keanak-anakan pelajar IPTA bukan gejala baru, katanya, malah ia sudah wujud sejak 1980-an. - mstar.com.my

Syeikh Muhammad Ibrahim Al-Kattani Akan Merasmikan Festival Konvokesyen

Festival Konvokesyen Dan Anugerah Mahasiswa / wi Cemerlang (FKAMC) anjuran Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir akan diserikan dengan kedatangan tokoh Muhaddith terkenal, Fadhilat Al-Syeikh Muhammad Ibrahim Al-Kattani yang akan merasmikan FKAMC kali ini. Beliau juga akan menyampaikan Ijazah Ammah bagi sanad kitab-kitab hadith Rasulullah s.a.w yang dimiliki oleh beliau kepada seluruh para peserta dan pemerhati yang bakal memeriahkan FKAMC pada 20 Oktober ini. Jangan lepaskan peluang keemasan ini.

Nadwah Mirath 2007, Peluang Keemasan Untuk Mendalami Ilmu Warisan Harta Islam

PMRAM sekali lagi menawarkan kepada mahasiswa Islam di Mesir untuk menyertai satu kursus yang akan mendedahkan kepada para peserta ilmu pewarisan harta menurut Islam. Kursus Nadwah Mirath 2007 yang akan diadakan pada 22 dan 23 Oktober ini pastinya akan memahirkan para peserta selok-belok ilmu pewarisan harta menurut kaca mata Islam. Kepada yang berminat anda boleh mendaftarkan nama sebelum 14 Oktober 2007 hanya dengan kadar berpatutan LE 40.00. Semoga terus memperjuangkan disiplin ilmu Islam.

06 Oktober 2007

Malam-malam yang istimewa...

Ihya di malam-malam terakhir Ramadan Baginda Rasulullah s.a.w apabila masuk sepuluh malam terakhir (bulan Ramadan), baginda menghidupkan malam-malam tersebut dengan mengejutkan isterinya dan mengikat kainnya (menunjukkan kesungguhan baginda pada malam tersebut dengan menjauhkan diri daripada bersama isteri-isterinya). Hadis riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim daripada Aishah r.a. sabda baginda s.a.w lagi yang bermaksud : Sesiapa yang bangun pada malam al-Qadr (beribadat) dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredaan Allah SWT, maka dosa-dosanya yang telah lalu diampunkan oleh Allah SWT. (hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim).Kepentingan waktu malam dalam kamus Islam Malam merupakan satu waktu yang hening dan penuh kedamaian, ia amat sesuai untuk dilakukan amal ibadat kerana pada waktu itu, ramai di kalangan manusia sedang tidur dan mungkin juga melakukan perkara-perkara yang tidak disukai Allah seperti menonton pertandingan bolasepak secara langsung dan sebagainya. Mereka dengan sendirinya boleh terjaga dari tidur walaupun tidak mengunci jam loceng untuk bangun, tetapi masa untuk Allah agak liat dan sukar untuk dilakukan, sehingga mereka menzalimi diri kerana tidak sanggup melakukan ibadat walaupun hanya dua rakaat. Justeru, Islam melihat waktu malam adalah penting, kerana peristiwa-peristiwa penting dalam sejarah Islam berlaku pada waktu malam seperti turunnya al-Quran pada malam al-Qadr, penghijrahan baginda Rasulullah s.a.w dari Mekah ke Madinah waktu malam, Israk Mikraj juga berlaku pada waktu malam, Qiyamullail waktu malam ia tidak berlaku pada waktu siang, kerana ia masa yang amat sesuai untuk mengadu nasib kepada Allah setelah penat bekerja pada siang hari. Sesungguhnya Allah SWT memuji hamba-hambaNya yang sanggup bangun waktu malam semata-mata untuk beribadat, bermunajat kepada-Nya dan menjadikan waktu malam bagi menempah tempat di dalam Syurga-Nya, perkara ini disebut oleh Allah dalam ayat 16 surah as-Sajadah yang bermaksud: "Lambung mereka jauh dari tempat tidurnya (mereka tidak tidur di waktu biasanya orang tidur, kerana melakukan sembahyang malam), sedang mereka berdoa kepada Tuhan mereka dengan rasa tahut dan penuh pengharapan." Firman Allah lagi dalam ayat 17-18 menerusi surah az-Zariyat: "Mereka (orang-orang yang bertakwa) sedikit sekali tidur di waktu malam - Dan di akhir-akhir malam mereka memohon ampun kepada Allah. Malam al-Qadr di sepuluh malam terakhir Ramadan Jelas dari apa yang disebutkan oleh baginda Rasulullah s.a.w dalam dua hadis di atas, membayangkan kepada kita tentang kesungguhan baginda untuk bangun malam beribadat dan bermunajat kepada Allah, sedangkan dosa-dosa baginda yang telah lalu dan akan datang diampunkan Allah SWT. Bukan sahaja baginda melakukannya secara bersendirian, malah memastikan agar isteri dan ahli keluarganya juga tidak membiarkan waktu malam berlalu begitu sahaja tanpa melakukan aktiviti kerohanian sebagai jalan untuk menempah tempat dalam syurga. Apatah lagi pada malam-malam terakhir Ramadan yang terdapat padanya malam al-Qadr. Allah SWT sebut dalam al-Quran, bahawa malam al-Qadr adalah lebih baik dari 1000 bulan, iaitu kira-kira 83 tahun empat bulan, ini bermakna jika seseorang itu menghidupkan malam-malam terakhir Ramadan dengan solat fardu berjamaah, tarawih, membaca al-Quran, Qiyamullail menepati malam al-Qadr, maka dia akan meraih pahala sebanyak 83 tahun empat bulan, sedangkan umurnya mungkin baru mencecah 63 tahun, seolah-olah pahalanya tahun ini melebihi dua puluh tahun daripada umurnya, inilah yang dikatakan rahmat dan bonus setahun beribadat. Kerana pada malam al-Qadr juga para malaikat dan malaikat Jibril turun dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan, tugas nalaikat pula ada yang mencatat segala amalan yang tidak akan dikurangkan atau ditambah dengan sewenang-wenangnya. Tetapi mengapakah masih ramai lagi di kalangan umat Islam dalam negara kita tidak bersungguh untuk merebut peluang keemasan ini yang hanya dating setahun sekali? Menurut para ulama, antara sebab mengapa mereka tidak mengisi malam-malam sepuluh terakhir Ramadan dengan amalan yang bermanfaat, kerana tidak memiliki iman yang kental, kurang membaca al-Quran, tidak berkawan dengan orang-orang yang bertakwa, orang-orang soleh, tidak istiqamah dalam mengamalkan amalan-amalan Islam, tidak memiliki ilmu pengetahuan yang cukup mengenai ajaran Islam sebenar. Faktor yang memudahkan seseorang itu boleh bangun untuk berqiyamullail Menurut Syeikh Muhammad Solih al-Munajjid, terdapat beberapa faktor penting yang dilihat boleh membantu umat Islam untuk bangun bagi melakukan solat di tengah malam seperti di bawah ini: 1. Ikhlas kepada Allah dalam setiap tindakan yang dilakukan bagi meraih keredaan-Nya, iaitu melakukan solat malam dengan merahsiakannya daripada pengetahuan orang ramai, ia bertujuan supaya tidak ada rasa riak dalam diri. 2. Hendaklah bagi orang yang melakukan solat malam itu mempunyai perasaan dalaman, bahawa Allah SWT menjemputnya untuk bangun di tengah malam. 3. Mengetahui sedalam-dalamnya ilmu mengenai kelebihan bangun di tengah malam berdasarkan pengajian dan perbincangan. 4. Memerhati kepada kesungguhan individu-individu terdahulu daripada kita yang istiqamah dan iltizam melakukan qiyamullail khususnya para solihin di kalngan para sahabat dan ulama. 5. Tidur di atas lambung sebelah kanan akan memudahkan seseorang itu boleh bangun di tengah malam seperti yang ditunjukkan oleh baginda Rasulullah s.a.w. 6. Tidur dalam keadaan berwuduk seperti ditegaskan oleh Rasulullah; "Apabila anda hendak masuk tidur, berwuduklah seperti untuk menunaikan solat." Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim daripada al-Barra Bin Azib. 7. Bersegera masuk tidur (tidur di awal waktu) terutama lepas solat Isyak seperti amalan yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. 8. Berzikir dengan wirid-wirid yang Ma'thur seperti Ma'thurat sebelum tidur, kerana ia menjadi benteng diri daripada kejahatan Syaitan dan membantu untuk mudah bangun, atau ayat-ayat pilihan dari al-Quran, baca doa tidur, membaca tiga Qul dan sebagainya. 9. Seboleh-bolehnya tidur sebentar di siang hari yang dikenali sebagai 'Qailulah', iaitu sebelum masuk waktu Zohor atau selepasnya, ala kadar setengah jam. 10. Elak daripada banyak makan dan minum, kerana ia boleh membantutkan hasrat untuk bangun di tengah malam. 11. Bertekad sedaya upaya untuk bangun malam dalam apa jua keadaan. 12. Menjauhkan dosa dan maksiat, kerana ia dikenal-pasti sebagai penghalang pertama dan utama dari mudah untuk bangun di tengah malam. 13. Membuat perhitungan diri (muhasabah) jika tidak mampu untuk bangun di tengah malam. Ketahuilah wahai saudara-saudaraku sekelian! Qiyamullail adalah ibadat yang menghubungkan hati kita dengan Allah selain ia adalah sunnah muakkadah yang sangat dianjurkan oleh Nabi s.a.w. Baginda bersabda : "Hendaklah kamu lakukan solat di tengah malam, sesungguhnya ia merupakan kebiasaan kepada orang-orang soleh sebelum kamu, ia boleh mendekatkan kamu kepada Tuhan kamu, ia juga penghapus segala dosa, penghalang daripada terjebak kepada maksiat dan dosa dan penawar kepada penyakit yang ada di tubuh." Hadis riwayat Imam Ahmad dan Tirmizi.