14 Mac 2009

Kepentingan Pendidikan:

Maulana Syed Abul-Hasan ‘Ali al-Nadawi rh menyebut tentang kepentingan pendidikan ini dalam beberapa buah bukunya.Antaranya beliau menyebut tentang perkara itu dalam bukunya Islam and the World(2): “Susunan pendidikan Alam Islam mesti bentuk semula habis-habis habisan dalam suluhan cahaya cita-cita Islam dan ajaran-ajarannya. Mempelajari dari negeri-negeri Barat apa yang maju terkedepan dalam sains dan teknologi adalah satu perkara, tetapi bila sahaja Muslimin melupai bahawa akar-umbi kekuatan mereka berada dalam Islam, dan mereka menjadi pengikut-pengikut khemah orang lain dari segi intelektuilnya, tenaga-tenaga kreatif mereka menjadi terhalang. Dalam zaman lampau kepimpinan intelektuil Muslimin diterima di seluruh dunia. Budaya dan ilmu pengetahuan mereka berkembang dalam setiap bidang kehidupan manusia di seluruh dunia. Buat masa yang lama dunia terus menerus berfikir dalam cara Islam dan mendapat inspirasi daripada kehidupan cara Islam. Bahasa Arab menjadi bahasa ilmu pengetahuan di dunia Barat dan setiap pengarang terkenal mengunakan bahasa ini untuk melafazkan apa yang hendak dinyatakannya Beliau meneruskan kenyataannya tentang bagaimana Barat mendatangkan banyak akibat-akibat yang merugikan Islam dan umatnya dalam sejarahnya. Kata beliau: “Kemudian masa berubah, dan berlakulah kemenangan Barat mengatasi (Muslimin). Ia membawa bersama-sama dengannya sikap baharu dalam hubungan dengan pengetahuan, yang merupakan hasil pengalaman-pengalaman dan keadaan-keadaan budaya Barat sendiri. Dunia mula mengikut dengan membuta tuli struktur yang baharu itu. Dunia Islam juga, oleh kerana kemalasan mental (mental sluggishness) terpedaya dengan ilusi bahawa keselamatan dan kesejahteraan mereka hanya terletak pada sikap tunduk sebagai abdi kepada barat dan sistem pendidikannya. Dengan itu maka asaspun disediakan bukan sahaja untuk pendewaan intellektuil tetapi juga peniruan (imitation) peradaban Barat oleh golongan intelektuil Muslimin. Maka sikap skeptik dalam agama, takbur, rasa tidak puas hati (dengan agama) dan semua ciri-ciri lain cara hidup Barat mula secara beransur-ansur dan tetap menggantikan cita-cita mulia dan tinggi budaya di kalangan generasi Muslimin yang baharu muncul. Peradaban kerohanian Islam mula secara sistematisnya digantikan dengan peradaban kebendaan Eropah.” Beliau menyatakan bahawa syarat untuk mendapatkan kembali kepimpinan dunia ini adalah melalui pencapaian kedudukan teratas dari segi intelektuil melebihi Barat. Kata beliau: “Adalah paling penting sekali demi untuk mencapai kembali kedudukan kepimpinan dunia bagi Islam bahawa Muslimin mestilah menimbulkan kembali ketinggian intelektuil mereka ke atas Barat. Untuk tujuan ini kebudayaan Islam mesti menegaskan dirinya kembali. Usaha-usaha perjuangan yang gigih mesti dilakukan dalam semua bidang ilmu pengetahuan. Sudah tentu, ini bukannya kerja beberapa orang perseorangan ataupun beberapa pertubuhan. Lujnah-lujnah dan institusi-institusi yang bertenaga tinggi dengan segeranya hendaklah dibangunkan dengan tujuan untuk menyusun struktur pendidikan yang secara seluruhnya mengikuti roh ajaran al-Qur’an dan Sunnah tanpa mencuaikan syarat-syarat pengajian moden dan penyelidikan saintifik. Ahli-ahli pendidikan dan sains Islam hendaklah menggunakan kekuatan mereka sendiri dalam bidang pemikiran spekulatif (speculative reasoning ) dalam hubungan dengan pembentangan sains empiris supaya mereka boleh menyelamatkan generasi-generasi mendatang Muslimin daripada menimbulkan perasaan benci terhadap zaman yang telah lalu sejarah mereka dan merasa putus harap dalam hubungan dengan masa depan mereka”.(3) Dalam bukunya The Glory of Iqbal (4) beliau menyebut beberapa kritikan almarhum Muhammad Iqbal rh dengan penuh persetujuan terhadap pendidikan moden. Antaranya ialah bagaimana pendidikan moden telah mengabaikan pembangunan mental dan rohaniah generasi muda yang mengakibatkan timbulnya krisis moral di kalangan mereka; dengan itu maka fikiran pemuda dan pemudi sekarang cerdas dan gemilang tetapi jiwa dan rohaninya gelap; kemerosotan rohaniah berlaku bergandingan dengan perkembangan mental yang cerdas; bagaimana akibatnya juga timbul di kalangan mereka sifat tidak mengenali jati-diri sendiri dan sikap tidak mempedulikan destini atau masa hadapan dan nasib mereka sebenarnya; bagaimana mereka itu lebih dipengaruhi oleh ideologi-ideologi asing lebih daripada dipengaruhi oleh agama mereka sendiri; bagaimana sifat kebendaan yang berlebihan di kalangan mereka dan juga sifat berlebihan dalam bergantung kepada pekerjaan sebagai matlamat pendidikan menyebabkan keruntuhan moral dan kerohanian mereka; bagaimana timbulnya sikap mengambil peluang dan faedah kebendaan yang sementara dalam sesuatu kegiatan (undue expediency) bersekali dengan budaya “artificial” dan hidup meniru-niru yang tidak wajar. Dengan itu pendidikan Barat moden menjadi alat penjajahan Barat ke atas Timur (kalau sekarang ini diperteguhkan lagi dengan seruan “Globalization” atau Globalisasi yang menjayakannya melalui ekonomi pasaran terbuka dan keadaan “dunia tanpa sempadan” dan “perkampungan global”); bagaimana pendidikan Barat moden yang terbentuk dalam atheisme , atau sekurang-kurangnya dalam keadaan keresahan mental dan kekalutan intelektuil (“intellectual anarchy”) mengakibatkan timbulnya skeptisisme, dan unsur-unsur rasionalisme dan pemikiran bebas di kalangan mereka yang terdidik di dalamnya; bagaimana kejayaan saintifik dan faedah-faedahnya membolehkan manusia menguasai angkasa lepas dan terbang di angkasa tetapi menyebabkan ianya terangkat daripada tempat berpijaknya dan memisahkannya daripada akar umbi rohaniahnya; bagaimana pendidikan itu berkecenderungan untuk membataskan nilai dan martabat manusiawi dalam hubungan dengan mesin, industri, dan lain-lain manifestasi kemajuan kebendaan walaupun ianya adalah “mutiara yang dikehendaki dari samudera seluruh penciptaan” dan “hasil penuaian dari ladang gandum kehidupan”; bagaimana akibatnya pengertian ilmu dan kefahaman manusiawi menjadi cacat dan tercela tanpa rahmat Ilahi dan wahyuNya; bagaimana dalam suasana pendidikan demikian setiap lintasan pemikiran yang tidak menasabahpun diangkat martabat menjadi “falsafah” yang dihormati; bagaimana sifat tergesa-gesa keinginan cepat dalam segala perkara dalam zaman teknologi ini menyebabkan kestabilan segala perkara menjadi musnah dan falsafah menjadi himpunan pemikiran yang tidak koheren yang tidak menentu (“haphazard collection of incoherent ideas”); bagaimana pendidikan demikian menggalakkan timbulnya sikap meniru-niru buta tamaddun Barat yang menghilangkan semangat dan roh keaslian dan tindakan yang bebas merdeka; dengan itu generasi muda tidak ada kewujudan dan jatidiri asli sebenarnya kerana ia menjadi bayangan bagi wujud Barat dengan kehidupan “artificial” yang diamalkannya; dengan itu jiwa mereka dilitupi dukacita dan rasa bosan, bukan lagi penuh dengan harap dan cita-cita tinggi dan murni.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan