12 Julai 2008

AGAK-AGAK SIGH KENA SAMAN TAK ??

KOTA BHARU: Seorang anggota polis memberitahu Mahkamah Majistret di sini semalam, tindakannya menyaman pelajar pondok berserban kerana kesalahan tidak memakai topi keledar ketika menunggang motosikal, dibuat ekoran status itu belum boleh diiktiraf sebagai lebai.Saksi pertama pendakwa, Konstabel Che Sidek Omar Mat Hassan, berkata beliau memahami Kaedah-Kaedah Motosikal (Topi Keledar) 1973 yang dibaca bersama Pengecualian 1975, menyatakan pengecualian hanya untuk seseorang bergelar haji, Sikh dan lebai.Beliau memberitahu perbicaraan terhadap pelajar Madrasah al-Diniah al-Bakriah, Pusat Pengajian Islam Pondok dekat Pasir Tumboh, Ahmad Nasir Darus, 27, yang mengaku tidak bersalah terhadap kesalahan tidak memakai topi keledar di Jalan Pasir Tumboh, di sini, jam 6.30 petang pada 20 September 2007.
Pemuda itu berdepan dakwaan mengikut Kaedah 4 Motosikal (Topi Keledar) 1973 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 119(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333/87) dan dibaca bersama Seksyen 128(1) akta sama. Sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM2,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali.Pendakwaan dijalankan oleh Pegawai Pendakwa Polis, Cif Inspektor Mohd Yusri Mamat, di hadapan Majistret, Tengku Amalin A'Ishah Putri Sultan Ismail Petra, manakala Ahmad Nasir selaku Orang Kena Saman (OKS) diwakili Peguam bela, Ahmad Rizal Affande Zainol.Che Sidek yang bertugas sebagai anggota Unit Peronda, berkata ketika ditahan, pelajar terbabit (Ahmad Nasir) memberitahu statusnya sebagai pelajar pondok, maka tindakan saman boleh diambil kerana pelajar terbabit belum layak dianggap lebai kerana masih belajar.
"OKS (orang kena saman) beritahu saya, dia pelajar pondok, bukan lebai. Pada pemahaman saya, dia masih pelajar," katanya menjawab soalan Mohd Yusri.Beliau berkata, ketika ditahan, pelajar terbabit tidak memakai topi keledar, sebaliknya berserban dengan ikatan kemas dan masa sama tidak menunjukkan sebarang dokumen yang menyatakan dia dikecualikan daripada memakai topi keledar.Terdahulu, saksi itu turut disoal Ahmad Rizal mengenai kefahamannya terhadap peruntukan Kaedah Motosikal yang menyebut pengecualian saman terhadap mereka yang bergelar haji, hajah, Sikh dan lebai.Ahmad Rizal merujuk maksud lebai yang dipetiknya daripada Kamus Dewan dan Kamus Pelajar, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang bermaksud - orang yang tahu tentang agama, orang yang melakukan kerja bersangkutan agama dan gelaran kepada orang yang tahu hal-hal atau taat kepada agama.
Che Sidek yang sudah enam tahun bertugas sebagai anggota polis, memberitahu beliau dapati Ahmad Nasir itu ada ciri-ciri seorang lebai, tetapi tidak bersetuju cadangan Ahmad Rizal bahawa saman terhadap pelajar itu menyalahi Pemberitahuan Pengecualian 1975 bagi Kaedah-Kaedah Motosikal (Topi Keledar Keselamatan) 1973.Tengku Amalin menetapkan 21 Julai ini sebagai tarikh hujahan bertulis kedua-dua pihak, diikuti hujahan balas peguam bela dan hujahan pihak pendakwa masing-masing pada 4 dan 18 Ogos ini, sebelum keputusan kes ditetapkan pada 15 September depan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan