19 November 2008

Melaka Bandaraya Warisan Dunia -Malaysiakini

AYER KEROH, 18 Nov - Melaka Bersejarah terus menjadi `syurga' kepada para pelancong daripada dalam dan luar negara, lebih-lebih lagi selepas negeri bersejarah ini diiktiraf sebagai Bandaraya Warisan Dunia (BWD) oleh UNESCO, Julai lalu. Kedudukan Melaka sebagai BWD terus meletakkan negeri ini di peta warisan dunia kerana nama Melaka sudah gah sejak dari dahulu lagi. Sejak dari zaman penjajah lagi. Kepopulariti Melaka dapat dilihat menerusi penambahan bilangan pelancong yang semakin mendadak di negeri ini. Bagi para pelancong, Melaka Bandaraya Warisan Dunia bukan sahaja mampu menawarkan lokasi-lokasi menarik untuk dilawati, malah kemudahan yang sedia ada di negeri ini, termasuk daripada aspek penginapan serta makanan, banyak menambat hati mereka. Selain daripada itu, budaya serta sikap ramah tamah rakyat negeri ini yang terdiri daripada pelbagai etnik seperti Melayu, China, India, Chetti, Baba & Nyonya, Portugis, membuatkan pelancong teruja untuk terus menjadikan Melaka destinasi pelancongan mereka. Berdasarkan perangkaan yang dikeluarkan Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) negeri, jumlah kedatangan pelancong mencatat seramai 4,619,625 orang menjelang akhir Ogos 2008 dan dari jumlah itu, seramai 3,726,715 orang merupakan pelancong domestik manakala seramai 892,910 orang merupakan pelancong asing. Sepanjang bulan Ogos 2008 sahaja, Melaka mencatat seramai 904,748 orang pelancong, di mana, 717,000 darinya adalah pelancong domestik dan 187,748 merupakan pelancong asing. Peningkatan jumlah pelancong pada Ogos tahun ini didorong oleh pengiktirafan Melaka sebagai Bandaraya Warisan Dunia (BWD) oleh UNESCO pada 7 Julai 2008. Lima buah negara pasaran pelancong asing terbesar ke Melaka ialah Singapura seramai 14,839 orang, China seramai 13,591 orang, Indonesia seramai 7,549 orang, Arab Saudi seramai 6,905 orang dan Hong Kong seramai 5,518 orang. Pelancong dari Arab Saudi meningkat kepada 6,905 orang pada Ogos 2008 berbanding 493 orang pada Ogos tahun 2007. Manakala pelancong Iran pula turut menunjukkan peningkatan kepada 654 orang pada Ogos 2008 berbanding tujuh orang pada Ogos tahun 2007. sumber : Melaka Hari ini