02 Oktober 2008

Tingkatkan Kesatuan - Timbalan Ketua Hewi PMRAM

Timbalan Pengerusi Hal Ehwal Wanita Islam (HEWI) PMRAM, Ustazah NorFaizah Mad Ali mengingatkan bahawa kesatuan fikrah dan amal dalam melakukan kerja untuk Islam adalah satu tuntutan. Dalam perutusannya sempena Hari Raya Aidilfitri 1429 hijrah, beliau juga menekankan agar penghayatan Islam dipertingkatkan dengan prihatin serta mengambil berat terhadap nasib saudara seagama. "Mana mungkin seseorang individu dikatakan benar-benar menghayati Islam jika mereka tidak menghiraukan nasib sahabat-sahabat seaqidah mereka," ujar beliau. "Lebih-lebih lagi musuh Islam sentiasa mengintai mencari kelemahan kita sehingga umat Islam menderita akibat kebobrokan penganutnya sendiri," tambah beliau lagi.
Justeru itu, beliau menggesa agar bertepatan dengan kehadiran hari yang mulia ini agar berazam untuk kembali kepada fitrah yang sebenar. "Julangkan keizzahan Islam dan teguhkan wahdah antara kita selaku warathatul anbiya' (pewaris para Nabi).Pugar kembali kesatuan atas nama Islam, eratkan ukhuwah sesama sahabat berpaksikan aqidah yang jelas," ujar beliau. Seterusnya beliau mewakili kepimpinan HEWI PMRAM mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua ahli dan pendokong PMRAM.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan