22 Oktober 2008

MKKK sambut ulang tahun - Malaysiakini

Pejabat Pegawai Kebajikan Anak Kedah Mesir (PKPK) dan Majlis Kebajikan Keluarga Kedah (MKKK) menganjurkan Majlis Ulang Tahun Penubuhan MKKK kali ke-40. Majlis yang gilang gemilang ini dihadiri oleh ahli MKKK dan tetamu undangan yang juga merupakan ahli MKKK satu ketika dahulu. Majlis berlangsung sejerus selesai solat isyak. Majlis ini juga merupakan Majlis Ramah Mesra Anak Kedah Mesir bersama Tuan Syeikh Ismi Anuar bin Abdul Halim dan Syeikh Al-Fadhil Ustaz Ismail Khamis. Kedua-dua tokoh ini adalah khirijil azhar dan tokoh yang disegani di kalangan masyarakat negeri Kedah khususnya. Majlis yang dipengerusikan oleh Ustaz Hadzle bin Johari ini bermula dengan ucapan aluan dari Syeikh Zakaria bin Othman, Pegawai Kebajikan Anak Kedah Mesir dan seterusnya hadirin dan hadirat mendengar ucapan dari kedua- dua tetamu undangan. Ucapan yang pertama disampaikan oleh Tuan Syeikh Ismi Anuar bin Abdul Halim, Ketua Pendaftar Sekolah-sekolah Agama, Majlis Islam Negeri Kedah. Tuan Syeikh memberi kata-kata semangat buat anak Kedah Mesir dalam mengharungi kehidupan kemahasiswaan di Bumi Anbiyak ini. Beliau menekankan agar Anak Kedah di sini belajar dengan konsep tafaqquh bukan ta’allum. Tafaqquh dengan ertikata yang lebih mendalam dalam menuntut ilmu dan bermatlamatkan menguasai bidang yang dipelajari. Beliau juga mengajak supaya mahasiswa berazam menjadi professional. Agamawan yang professional. Selain itu, Tuan Syeikh berpesan kepada semua ahli MKKK agar menjaga MKKK yang sekian lama terbina atas dasar kebajikan dan saling tolong menolong untuk sampai kepada titik kejayaan. Ucapan yang kedua disampaikan oleh Syeikh Al-Fadhil Ustaz Ismail bin Khamis yang juga merupakan mantan Yang Dipertua MKKK tahun 1977, Bekas Tenaga Pengajar Maktab Mahmud dan juga Bekas Wakil Rakyat Adun Anak Bukit. Al-Fadhil Ustaz menceritakan kisah penubuhan MKKK pada tahun 1968 yang ketika itu anak Kedah di Mesir seramai hampir 100 orang. Penubuhan ini amatlah bersejarah bagi anak-anak Kedah yang melanjutkan pelajaran di Ardhil Kinanah ini. Beliau juga mengisahkan perjalanan beliau ketika menuntut di Bumi Mesir ini. Katanya dalam ucapan “MKKK ditubuhkan atas dasar untuk menyatu padukan semua anak Kedah”. Beliau juga dengan harapan kepada kepimpinan MKKK kini agar meneruskan perjuangan anak-anak Kedah dengan berobjektifkan perpaduan. Panjang lebar beliau mengisahkan sejarah penubuhan MKKK ketika itu, susah payah dihadapi bersama.Akhirnya Al-Fadhil Ustaz berpesan supaya anak Kedah menuntut ilmu dengan sebanyak yang mungkin dan menyeru agar belajar bersungguh-sungguh. Majlis diteruskan dengan penyerahan raptika cek sumbangan dan Majlis Agama Islam Negeri Kedah yang disampaikan oleh Tuan Syeikh Ismi Anuar kepada Syeikh Zakaria Otman mewakili anak-anak Kedah di Mesir. Seterusnya majlis berehat seketika sambil mendengar nyayian nasyid dari Ketua Badan Kebudayaan Kesenian dan Sukan MKKK. Sebagai Sambutan Ulang Tahun Penubuhan MKKK kali ke 40, ahli MKKK bersama-sama menyaksikan majlis potong kek secara bersama oleh Syeikh Al-Fadhil Ustaz Ismail bin Khamis, Tuan Syeikh Ismi Anuar bin Abdul Halim, Syeikh Zakaria Otman dan Ustaz Abu Bakar bin Razak, Yang Dipertua MKKK. Sebagai kenang-kenangan kepada tetamu undangan PKPK dan MKKK menyampai cenderamata dan 2 buah buku karangan dan terjemahan dari anak Kedah Mesir.Majlis diakhiri dengan bacaan doa oleh Ustaz Sahrizan Mohd Hazime, anggota Badan Pengurus Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan