02 September 2008

HIDAYAH AWAL RAMADHAN

KOTA BHARU: Seorang lelaki warga Kemboja sanggup datang dari negara asalnya ke negeri ini semata-mata menunaikan isi hatinya memeluk Islam dengan mengambil kesempatan sempena kedatangan 1 Ramadan, semalam.Lelaki berkenaan, Kim Keong, 22, melafazkan dua kalimah syahadah di hadapan Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Dakwah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam (JAHEAIK) Kelantan, Mohd Suhaimi Mohamed, jam 9.30 pagi.Menurut Kim Keong atau nama barunya, Abdul Haq Kim Abdullah, dia memeluk Islam selepas tertarik dengan keindahan yang terdapat dalam ajaran agama berkenaan.Katanya, niatnya memeluk Islam terpaksa dipendamkan dalam hati sejak setahun lalu kerana ketika itu masih belajar di sebuah universiti di negara asalnya.
“Pada mulanya, saya memberitahu kakak (Siti Aishah) yang sudah memeluk Islam mengenai niat ini dan dia menerima dengan hati gembira selain meminta saya segera ke Malaysia bagi memudahkan proses berkenaan.“Selepas tamat pengajian di Universiti Phnom Penh, saya terus ke sini bagi menyegerakan niat ini,” katanya yang berkelulusan Diploma Ekonomi.Menurutnya, dia ikhlas memeluk Islam terutama selepas tertarik melihat rakan sekelilingnya mendalami agama berkenaan melalui perbuatan masing-masing.Selain itu, katanya, Islam juga memberi kebaikan kepada penganutnya apabila setiap ajarannya terkandung disiplin yang kuat dan kukuh. “Sebelum memeluk agama suci ini, saya seorang penganut Buddha,” katanya ketika ditemui di pejabat JAHEAIK, dekat sini.Abdul Haq adalah adik kepada Siti Aishah Kim Abdullah, 24, isteri Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Melor, Wan Ismail Wan Jusoh.Menurutnya, di negara ini, masyarakatnya boleh beribadah pada bila-bila masa kerana terdapat banyak masjid dan tempat ibadah, sebaliknya di Kemboja, tempat beribadah agak terhad selain jaraknya agak jauh dari rumah iaitu kira-kira 100 kilometer. Sementara itu, Siti Aishah berkata, dia bersyukur apabila hasrat adik ketiganya yang mahu memeluk Islam terlaksana selepas berjaya mengislamkan abang sulungnya, Mohd Yusuf Kim Abdullah, 27.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan