21 Mac 2008

Tazkirah Remaja: Amal sunnah, cinta Nabi

Oleh Mohd Zawawi Yusoh WALAUPUN Nabi Muhammad s.a.w tidak pernah meminta diraikan tarikh lahirnya tetapi 12 Rabiulawal rasanya tidak akan dilepaskan berlalu begitu sahaja. Jika hari lahir kita diingati dan diraikan, apa lagi tarikh lahir insan paling sempurna yang sangat banyak jasa kepada kita malah mencintainya termasuk dalam kesempurnaan iman, tentulah lebih patut diingati. Bagaimana cara dan kaedah menyambutnya itu adalah persoalan kedua. Cuma yang penting ialah cara hidup dan perjuangan baginda mesti diingati. Hari-hari biasa kita berselawat dan mendengar pengajaran sirah di kuliah yang diadakan di masjid-masjid.Justeru, bagi mereka yang mencintai Nabi s.a.w, segala yang bersangkutan dengan junjungan yang mulia adalah besar dan sangat bererti.Nabi Muhammad s.a.w sudah tiada lagi di dunia ini tetapi ajarannya masih bersama kita, bukan sahaja kita mesti menjalani kehidupan dengan Islam sebagai cara hidup tetapi mati pun dengan syariat yang dibawa baginda.Orang kafir yang tidak ada kena mengena dengan Rasul terpaksa mengakui kehebatan Rasulullah s.a.w. Buktinya ramai sarjana mereka mengungkapkan kehebatan itu di dalam buku dan tulisan mereka. Sebenarnya kebesaran dan kehebatan Nabi tidak memerlukan sokongan mereka, tetapi mereka yang terpaksa memberikan pengiktirafan. Itulah kebenaran yang terpahat dalam pengakuan bertulis sepanjang sejarah. Jika mereka yang tidak pernah merasai keberkatan dan kemanisan cinta Rasul pun boleh mengagungkan dan memuliakan Nabi, bagaimana kita yang sentiasa berselawat, mengadakan maulid dan berarak merasakan keberadaan ajaran nabi? Inilah yang patut diselongkar dan dilakukan muhasabah sempena kedatangan tarikh 12 Rabiulawal. Maulid bukan sahaja hendak mengingatkan mengenai kelahiran Nabi tetapi melahirkan sunnah Nabi dalam kehidupan harian kita.Pada zaman manusia kehilangan arah dan tiada panduan, tercari-cari cara hidup yang menyelamatkan namun kita yang mempunyai modul kehidupan yang lengkap dari A hingga Z, buat main-main pula, buat-buat tidak nampak.Kita bimbang nikmat ini akan ditarik Allah. Sesiapa yang tidak solat nikmat solat ditarik Allah. Nabi suruh berjemaah di masjid tetapi kita tidak pedulikan azan, itu maknanya nikmat masjid sudah ditarik Allah.Al-Quran ada di depan mata, tetapi kita tidak boleh baca dan tidak suka baca, maka itu maknanya nikmat al-Quran ditarik Allah.Nabi Muhammad s.a.w dan ajarannya dipermainkan orang, tetapi kita buat tidak kisah saja. Itu maknanya nikmat cinta Nabi sudah ditarik.Jika banyak sangat ditarik nanti kalau iman kita ditarik dan menjadi murtad kita tidak terasa apa-apa. Marilah kita menambah maklumat dan ilmu mengenai insan paling dicintai Allah ini dengan menghadiri kuliah di masjid, membawa keluarga bersama. Patut juga kita membeli buku sirah nabi untuk dijadikan bahan rujukan kita sekeluarga.Mulai sekarang tambahkanlah 'angka' selawat pada Nabi Muhammad s.a.w. Jika ada duit lebih berbelanjalah untuk menziarah kampung dan medan perjuangan Nabi serta Madinah yang diasaskan oleh junjungan Rasulullah iaitu dengan mengerjakan umrah dan haji.Jangan lupa juga bersama alim ulama dan mereka yang memperjuangkan sunnah nabi. Pada hari kelahiran Nabi ini patut juga melihat kembali pengamalan kita terhadap sunnah yang wajib dan sunnah yang sunat. Solat kita betul atau tidak seperti cara Nabi solat, mencari harta dan cara membelanjakannya menepati kehendak Islam atau tidak, malah keluarga kita dan anak-anak kita mampukah nanti memperjuangkan sunnah Nabi?Begitu juga kuasa yang kita dapat sudahkah membantu untuk menghidupkan sunnah atau memalapkan sunnah.Kita tidak sempat bersama Nabi tetapi kita cuma bersama sunnah Nabi. Harapan, semoga kita dapat bersama Nabi s.a.w di syurga nanti.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan