30 Oktober 2007

Ulamak seumpama sebuah telaga – Prof. Dr. Saad Saad Jawish.

Isnin, 22 Oktober 2007 KAHERAH, 20 Oktober - "Ulamak seumpama sebuah telaga, tempat manusia menceduk untuk mengambil minuman darinya", kata Prof. Dr. Saad Saad Jawish. Prof. Dr. Saad Saad Jawish yang merupakan pensyarah jurusan Usuluddin dalam bidang Hadith dari Universiti Al-Azhar ketika menyampaikan ucapan sempena Festival Konvokesyen dan Anugerah Mahasiswa-mahasiswi Cemerlang (FKAMC) ke-15 di bawah anjuran PMRAM telah melahirkan rasa gembira dengan komitmen pelajar Al-Azhar khususnya, mahasiswa-mahasiswi dari Malaysia terhadap bidang ilmu. Beliau yang berucap sebelum penyampaian anugerah kecemerlangan kepada graduan-gradunita dan mahasiswa-mahasiswi cemerlang mengaitkan kehidupan ulamak mahupun penuntut ilmu adalah seperti telaga. Menurut beliau, umat Islam akan menjadikan ulamak tempat rujukan dan bertanyakan sesuatu berkaitan agama yang mereka tidak ketahui. Bagaimanapun, beliau mengingatkan graduan-graduanita dan mahasiswa-mahasiswi yang hadir agar memperbanyakkan bacaan, di samping membuat kajian dan juga mengikuti kelas-kelas tafaqquh. Beliau menegaskan, Al-Azhar dan ilmu Islam bukan untuk bangsa Arab sahaja malah terbuka kepada semua umat Islam seluruh dunia. Akhir ucapannya, beliau mengajak supaya menitikberatkan amanah dan bersama mempertahankan aqidah Islam.

2 ulasan:

Catat Ulasan