22 Oktober 2007

Pelajar di Mesir harus bersatu mendepani tekanan pegawai kedutaan

KAHERAH, 22 Okt (Hrkh) - Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) menyeru ke arah kesatuan ahli dan pendokong persatuan pelajar itu agar sentiasa berusaha serta berdoa supaya tekanan daripada pegawai rumah negeri dan kedutaan akan berkurangan. Presiden PMRAM Hairul Nizam Mat Husain berkata demikian di dalam suatu perutusannya yang dikeluarkan di Mansourah, Kaherah bersempena sambutan Hari Raya Adilfitri baru-baru ini. Tekanan yang ditimbulkan daripada pihak tertentu ada hubungannya dengan Kedutaan Malaysia di Mesir termasuk pusat zakat di Malaysia. Antara tekanan itu ialah ugutan sekatan wang zakat, pengusiran daripada rumah anak negeri dan lain-lain jika mereka didapati terlibat dengan PMRAM atau Badan Kebajikan Anak Negeri (BKAN) ataupun lain-lain pertubuhan yang tidak diiktiraf oleh kedutaan. "Marilah bermunajat agar Allah memberi kekuatan kepada para pimpinan BKAN yang mendapat pelbagai tekanan daripada para pegawai rumah negeri yang ingin melepaskan hubungan erat di antara PMRAM dan BKAN selama ini. "Kita tidak setuju dengan tindakan beberapa pegawai rumah negeri yang menyekat kebebasan pimpinan BKAN dalam membuat keputusan demi kepentingan mereka. Mereka ini perlu diberikan kebebasan dalam menentukan pendirian sendiri," kata Hairul Nizam. Antara badan kebajikan mahasiswa anak negeri dan jaringan pertubuhan pelajar yang berada di bawah PMRAM ialah BKPJM (Johor), BKMIP (Pahang), MKKK (Kedah), KPKM (Kelantan), KPT (Terengganu), BKPPP (Pulau Pinang), KPIPM (Perak), DPM Zagaziq, DPM (Tanta), DPM Maqaz Shoubra, DPM Mansoura, dan pelajar Perubatan. Tambahnya, kalau pelajar terus diugut dengan sekatan zakat, ancaman dinafikan hak menetap di rumah-rumah negeri dan sebagainya, ini mengakibatkan lahirnya generasi penakut, menghalang kelahiran idea dan gagal menjadi pimpinan yang kreatif di samping memberi kritikan membina. "Ini tindakan yang tidak sepatutnya dilakukan pihak terbabit memandangkan misi PMRAM adalah berorientasikan kebajikan sama ada dalam bentuk rohani, material dan pendidikan. "Saya seru semua pelajar memperjuang kebebasan mereka dalam bersuara dan berpersatuan di mana persatuan mereka ini ingin dihakis sedikit demi sedikit. Mahasiswa harus bersama-sama PMRAM dalam memperjuangkan agenda ilmu dan kebajikan," tambah beliau. Menurut Bernama pada Julai 2005: "Mais Tarik Balik Dermasiswa 9 Penuntut Tajaanya". Dalam laporan itu, sembilan pelajar Universiti al-Azhar menganggotai pertubuhan yang tidak diiktiraf Kedutaan Malaysia di Mesir, iaitu PMRAM dan Badan Kebajikan Anak Melayu Selangor. Menurut suatu sumber, para pelajar itu ditarik balik wang zakat pengajian berdasarkan Perkara 4 (G) Fasal 12 Perjanjian Dermasiswa Zakat Mais yang menyebut-mereka tidak boleh mengambil bahagian dalam apa-apa kegiatan yang difikirkan Pusat Zakat Selangor (PZS) sebagai tidak selaras dengan kepentingan pelajar, kepada PZS dan Malaysia. Mereka juga didapati bersalah kerana melanggar Perkara 4 (H) yang tidak membenarkan pelajar memegang apa-apa jawatan dalam apa-apa pertubuhan, badan atau kumpulan tanpa mendapat keizinan daripada PZS terlebih dahulu. PMRAM ialah organisasi yang ditubuhkan pada 1930 dengan nama Persekutuan Putera-Putera Semenanjung (PPS) kemudian bertukar nama kepada Persekutuan Melayu Mesir (PMM) pada 1952. Ia ditukar nama sekali lagi kepada Persekutuan Melayu Republik Arab Bersatu (PMRAB) dan akhirnya pada 1971 ia ditukar kepada Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM). Sambil menyeru ke arah perpaduan PMRAM, Hairul Nizam berkata adalah tidak adil jika pelajar cuma melihat dari jauh atau melepaskan kritikan kepada PMRAM sahaja. "Malah kita patut menjiwai perjuangan, penat lelah PMRAM di samping membangun kritikan, mengerah tenaga fikiran dan wang bagi memastikan PMRAM yang cuba dihapuskan terus mampu hidup dan untuk menjaga kebajikan bersama," tambahnya. Menurut satu sumber, antara persatuan yang diiktiraf kedutaan ialah Kelab Umno Republik Arab Mesir (NUMRAM), Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) Mesir, Persatuan Pelajar Malaysia Mesir (PPMM) dan ALAMI. - mks.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan