17 September 2007

AntaRa IkhTiar dan Ijtihad ???

Dalam Islam, berkhatan adalah perkara khilafiyah diperbincangkan dalam semua mazhab, namun menurut qaul (pendapat) sahih dalam mazhab Syafie, ia wajib ke atas lelaki dan perempuan. Begitulah perkataan kebanyakan ulama salaf. Imam Ahmad bin Hambal mengatakan wajib manakala Imam Malik dan Imam Abu Hanifah berkata khatan itu hukumnya sunat bagi lelaki dan perempuan. Ada pula satu qaul dalam mazhab Abi Hanifah mengatakan wajib bagi lelaki dan sunat bagi perempuan. Antara petunjuk yang dijadikan hujah dalam melaksanakan khatan ialah firman Allah yang bermaksud: “ Ikutilah wahai Muhammad susunan agama Ibrahim.” Hadis diriwayatkan Abu Hurairah, Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Nabi Ibrahim berkhatan ketika beliau berusia 80 tahun di suatu tempat bernama “al-Qudum” (di Syam).” (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim). Diriwayatkan Imam Ahmad daripada Syaddad bin Aus dengan terputus sanadnya dan juga oleh Imam Baihaqi daripada Saidina Ali, beliau berkata berkhatan itu sunat bagi lelaki dan suatu perkara yang terpuji bagi perempuan. Selain itu Imam Abu Daud, Ibnu Sandah dan Ibnu ‘Asakir meriwayatkan suatu hadis daripada ad-Dohak bin Tias, katanya di kota Madinah ada seorang perempuan yang bernama Ummu ‘Atiyyah kerjanya menyunatkan anak gadis. Rasulullah s.a.w pernah berkata kepada perempuan itu: “Bila engkau menyunatkan anak perempuan jangan engkau potong terlampau banyak kerana potongan itu jika disederhanakan akan menambahkan seri muka dan menyebabkan suami lebih gembira.” Begitupun, baru-baru ini khatan terhadap perempuan menjadi isu, apabila seorang budak perempuan, Badour Shaker, 12, meninggal dunia ketika menjalani prosedur itu di sebuah klinik haram di bandar Maghagh di selatan Mesir. Siasatan forensik mengenai kes berkenaan menunjukkan kematian budak itu disebabkan dos bius yang berlebihan. Kes berkenaan mencetuskan bantahan berkhatan kepada wanita dan diberi laporan meluas oleh akhbar Mesir. Berikutan itu, Kementerian Kesihatan Mesir mengeluarkan perintah kuasa menyatakan larangan kepada semua doktor, jururawat atau sesiapa saja memotong, meratakan atau mengubah suai mana-mana bahagian sistem reproduktif wanita, sama ada di hospital kerajaan, hospital bukan kerajaan atau tempat lain. Malah, selepas kematian budak itu, pihak berkuasa tertinggi agama negara itu menegaskan Islam menentang amalan berkhatan wanita. Mufti Besar, Ali Gomaa, berkata amalan tradisi berkhatan di kalangan wanita pada era kini adalah berbahaya dan dilarang. "Ia dilarang," katanya. Sementara itu, Imam Universiti al-Azhar, Sheikh Mohamed Sayed Tantawi, pernah menganggap amalan berkenaan tidak menepati kehendak Islam walaupun beberapa tokoh Islam tempatan mempertahankannya. Tantawi dan pemimpin Kristian Mesir, Pope Shenouda, bersetuju tiada perintah mengkhatankan wanita disebut sama ada dalam al-Quran atau Injil. Mengulas isu ini, Prof Madya Dr Abdul Basir Mohamad dari Jabatan Syariah, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), berkata kepelbagaian pendapat ulama itu sepatutnya tidak menjadi isu kerana ia perkara ijtihad. “Perkara ini ijtihad, kerana tidak ada nas yang jelas. Menegah khatan tidak salah, menyuruh juga tidak berdosa,” katanya, sambil menegaskan pendirian yang diambil seperti Mesir berdasarkan kemaslahatan semasa. “Ia cuma pandangan ulama dan sepatutnya cara (khatan) perlu diperkemaskan,” katanya. Pada 1950-an kerajaan Mesir cuba menghalang bidan daripada melakukan khatan ke atas bayi perempuan tetapi membenarkan doktor melakukannya bagi menjamin ia dilaksanakan dalam keadaan selamat. Satu tinjauan Tabung Kanak-Kanak Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef ) pada 2003 mendapati, 97 peratus wanita berkahwin di Mesir sudah menjalani khatan. Kajian terbaru Kementerian Kesihatan dan Penduduk Mesir mendapati 50.3 peratus kanak-kanak dan remaja antara 10 hingga 18 tahun sudah berkhatan. Menurut Abdul Basir, umat Islam di negara ini mengambil jalan tengah dan bersikap hati-hati dalam melaksanakan khatan. “Apa yang saya tahu khatan wanita ada tiga tahap, iaitu yang ringan, pertengahan dan melampau. Kita ambil jalan yang paling ringan iaitu hanya guris sedikit, tidaklah sampai mencederakan. “Melakukannya memang tidak boleh sampai tahap menzalimi kerana manusia memang perlu kepada nafsu, cuma tidak mahu ia terlalu rakus. Buang keterlaluan hingga tiada nafsu haram. Binatang pun haram buat begitu, inikan pula manusia yang memerlukan zuriat,” katanya. Walaupun tiada nas jelas dalam perkara ini, katanya ada petunjuk yang menjadi panduan dan dipegang oleh umat Islam khususnya di negara ini dalam melaksanakan khatan baik kepada lelaki atau perempuan. “Masyarakat tidak perlu kelam-kabut dengan isu ini, kerana kes (kematian) itu sangat jarang. Saya difahamkan juga cara yang mereka guna tidak mengikut prosedur rapi seperti yang kita diamalkan,” katanya. Beliau menjelaskan, khatan kepada perempuan walaupun ada pihak yang tidak bersetuju, tetap mempunyai kebaikan iaitu dapat menundukkan naluri nafsu yang membuak-buak. “Sekarang, masyarakat begitu bebas, gejala sosial menjadi-jadi, sukar dikawal. Apa salahnya untuk mengawal naluri nafsu. Kita laksanakan khatan kepada perempuan dan menjadikannya sebagai satu ikhtiar. “Kita melaksanakannya juga berasaskan panduan agama dan mengambil langkah berhati-hati. Sebab itu hingga ke hari ini di negara kita tidak ada kes seperti itu (Mesir),” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan