16 Ogos 2007

'Merdeka Statement' cuba rombak kedudukan istimewa Islam dan Melayu

Dokumen The Merdeka Statement oleh Pusat Kajian Polisi Awam , dibawah ASLI ( Institut Kepimpinan Strategik Asia) yang dilancar pada 2 hb Ogos 2007 di Hotel Eastin , KL sekali lagi membawa masyarakat Malaysia kepada kontrovesi yang tidak perlu. Dokumen itu telah dilancar oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, YB Tan Sri Datuk Seri Bernard Gulik Dompok. Atas nama sempena menyambut kemerdekaan 50 tahun negara ( 44 tahun selepas pembentukan Malaysia) , pusat ini dikatakan telah mengumpulkan pandangan dari 42 buah badan bukan kerajaan mengenai pelbagai aspek kehidupan rakyat Malaysia. Awalnya deraf dokumen itu ditulis oleh Pengerusi CPPS Tan Sri Dato' Dr.Ramon V.Navaratnam . Dalam ucapan pelancaran Bernard telah menegaskan bahawa negara ini tidak pernah bertujuan untuk menjadi negara Islam. Hasilnya ialah sebuah dokumen yang dikatakan membawa semangat Agenda Malaysia Baru untuk membawa negara dalam perjalanan 50 tahun mendatang. Dokumen ini mengunkap 8 agenda Malaysia baru yang antara lain dicatat mengenai pengukuhan perpaduan nasional. Inti kepada dokumen ini adalah untuk menegaskan identiti Bangsa Malaysia dalam realiti kepelbagaian etnik yang ada di negara ini. Sementara ia merupakan sebuah inisiatif untuk mengenengahkan ide perpaduan dan kesaksamaan, apa yang jelas ialah dokumen itu cuba merombak tafsiran kepada kenyataan masyarakat Malaysia yang ada masakini. Dalam muka surat 8, mengenai agenda mengukuhkan perpaduan nasional ia mencatat " bagaimanapun akhir-akhir ini, keadaan perpaduan semakin menipis. Pemisahan etnik, bahasa dan agama semakin menajam , menyebabkan ramai yang terguris di negara ini..." (terjemahan). Cuba mempersoalkan kedudukan istimewa kaum bumiputera Lantaran itulah dokumen ini menyarankan Panel Perunding Perpaduan Nasional dijadikan sebuah Suruhanjaya yang berkuasa untuk menilai semula undang-undang , dasar dan implementasi dasar yang menyekat perpaduan , menyiasat aduan mengenai diskriminasi etnik , bahasa dan agama sama ada dalam sektor kerajaan mahupun sektor publik. Suruhanjaya ini dicadangkan bertanggungjawab kepada Parlimen. Ditegaskan lagi semua polisi negara yang sedia ada dan yang akan digubal selepas ini hendaklah selaras dengan Perlembagaan dan Rukunegara. Kami melihat dokumen ini sedang cuba meniti persoalan yang akan merentas ketetapan yang sudah dimuktamadkan dalam kontrak sosial yang disepakati sejak negara ini dibina. Dengan mengguna alasan menentang diskriminasi dan menuntut hak sama rata , CPPS cuba dengan halus untuk merempuh asas yang sedia ada iaitu hak istimewa bumiputera seperti yang telah termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan. Yang nyata ialah dokumen ini cuba atas nama menolak diskriminasi mempersoalkan kedudukan istimewa kaum bumiputera. Gambaran seolah kaum lain telah didiskriminasikan terbayang dalam pernayataan ini. Dengan itu ia mengusulkan agar apa-apa dasar yang memberi ruang lebih kepada kaum bumiputera hendaklah diketepikan. Kami menegaskan sehingga 50 tahun negara ini merdeka , yang jelas kaum lainlah yang sebenar telah mendapat manfaat yang jauh lebih mantap. Cuba lihat dalam apa sahaja bidang ekonomi yang ada di negara ini , siapakah yang sebenarnya mendapat sebahagian besar dari kek ekonomi : dalam sektor pembuatan , pengangkutan , industri pengiklanan , percetakan , pemakanan , pertanian dan perladangan , industri binaan dan pembangunan perumahan , pembekalan dan perolehan kerajaan , industri perabut , klinik swasta , pemilikan hartanah , institusi kesihatan swasta , industri francise , runcitan , IKS dan restoran , hampir semuanya dikuasai oleh bukan bumiputera. Lihat sahaja wajah bandaraya , kotaraya dan pekan kecil yang ada di seluruh negara. Siapa yang menguasai ekonomi di bandar-bandar ini? Siapa yang menduduki premis perniagaan mewah di bandar-bandar seluruh negara sekarang? Untuk mempertahan seorang pengusaha bumiputera Melayu di KLCC sahaja bagaikan nyawa ikan.Padahal bangunan itu didirikan oleh GLC yang ditadbir oleh korporat Melayu. Dengan tidak perlu mengenengahkan data , secara zahir sahaja sudah cukup untuk kita membuat rumusan , kaum bumiputeralah yang sebenarnya sedang melalui diskriminasi dalam sistem pasaran bebas ini. Jika IPTA hendak dijadikan ukuran bahawa terlalu banyak kelebihan diberi kepada pengambilan pelajar kaum bumiputera , ia sebenarnya kecil berbanding dengan ratusan ribu pelajar bukan bumiputera yang berada di IPTS dalam negara dalam luar negara. Di IPTA sendiri akibat dasar meritokrasi dilaksanakan , bilangan kaum bumiputera dalam kursus kritikal kini semakin berkurangan. Malah secara realitinya tidak ada negara yang memberi ruang seluasnya untuk etnik lain dari kaum pribumi berkembang sebegini subur selain Malaysia. Perhatikan sahaja apakah negara jiran membenarkan sekolah jenis kebangsaan boleh didirikan dan diberi bantuan sepenuhnya dalam sistem pendidikan formal seperti yang ada di negara ini? Ditambah lagi negara ini membenarkan pula IPT didirikan oleh parti politik bukan bumiputera tanpa sebarang masalah. Malah institusi ini dibantu lagi oleh kerajaan. Tidak cukup dengan itu , walaupun ada yang menunjukkan peningkatan bilangan golongan professional Melayu dikalangan akauntan , jurutera , doktor pergigian ,arkitek , doktor dan peguam , pada keseluruhannya hampir semua firma swasta yang mengguna kepakaran golongan ini adalah bukan bumiputera. Dokumen yang sarat dengan prasangka buruk TERAS tidak dapat menerima percubaan 42 kumpulan yang diketuai oleh CPPS , ASLI ini berusaha mengambarkan dalam dokumen tersebut seolah-olah kaum bukan bumiputera sedang tertindas oleh sebuah sistem yang dikatakan tidak membantu perpaduan di negara ini. Paling minima , TERAS mengesan bahawa dokumen ini sarat dengan prasangka buruk terhadap hak istimewa bumiputera di negara ini dan cuba merombak apa yang termaktub dalam Perlembagaan dengan menyisipkan perlunya semangat liberalisasi dan persaingan terbuka dalam asakan globalisasi tanpa batas. Kami juga memberi perhatian terhadap pernyataan mengenai kebebasan memilih agama yang dituntut oleh dokumen ini . Tersirat dalam dokumen ini ialah tuntutan untuk rakyat dibenarkan mengamalkan kebebasan beragama termasuk dengan membolehkan sesiapa sahaja mahu keluar dari agamanya dan memileh agama lain. Jelas dokumen ini secara tidak langsung mahu supaya tidak boleh disekat orang Islam untuk keluar dari agamanya (dalam ertikata lain murtad) kerana ini didakwa oleh CPPS dan 42 kumpulan lain sebagai menyekat kebebasan dan mendiskriminasi agama lain. Kami lihat ini adalah antara tuntutan pokok yang tersirat dalam dokumen ini kerana kumpulan ini telah menganggap suatu ketidakadilan berlaku dalam beberapa kes yang dibicara dimahkamah mengenai murtad. Sebagaimana yang telah dipertegaskan , TERAS nmelihat dokumen ini mempunyai unsur perpanjangan dari tuntutan mendirikan Interfaith Commission (IFC) yang pernah diketengahkan dan ditolak oleh rakyat. Jika tuntutan ini diperakui oleh kerajaan ia jelas boleh membawa pelbagai implikasi lain termasuk mengenai kedudukan undang-undang syariah ,bidangkuasa mahkamah syariah dan penguatkuasaan enakmen jenayah syariah yang ada di negeri-negeri. TERAS menolak dengan keras usaha ini yang cuba berselindung disebalik hujah perpaduan nasional, hak asasi manusia dan kesaksamaan gender seperti yang sering dilaungkan oleh golongan yang berfaham sekular-liberal ini. Kami mendesak agar pihak kerajaan dan rakyat mengambil sikap tegas terhadap mana-mana usha yang cuba merombak asas kedudukan istimewa bumiputera dan Islam di negara ini. Presiden, TERAS Pengupayaan Melayu

Tiada ulasan:

Catat Ulasan