24 Jun 2007

DUNIA ISLAM SEMAKIN PARAH ...

ISLAMABAD: Sekumpulan ahli perniagaan Pakistan menawarkan ganjaran kepada sesiapa yang berjaya memenggal kepala penulis kontroversi, Salman Rushdie (gambar), ketika bantahan Muslim di seluruh dunia terhadap penganugerahan gelaran kesatria oleh kerajaan Britain kepada penulis itu memuncak. Ketua Persatuan Perniagaan Islamabad, Ajmal Baloch, menawarkan ganjaran bernilai lebih £82,000 (RM565,800). Dalam satu perhimpunan di pasar Aabpara di tengah Islamabad, Baloch juga mendesak negara Islam memulaukan barangan keluaran Britain dan mengumumkan: “Kami akan memberi 10 juta rupee kepada sesiapa yang berjaya memenggal Rushdie.” Laporan akhbar The Independent menyebut, bantahan turut meletus di Lahore, Karachi dan Islamabad ketika jemaah mula penuh untuk menunaikan solat Jumaat. Bilangan yang hadir ke perhimpunan selalunya cuma beberapa ratu sorang dan diketuai oleh parti Islam radikal negara itu. Lebih 300 penunjuk perasaan berhimpun di Islamabad sambil melaungkan ‘Laknat Rushdie’ dan ‘Jatuhlah Britain.’ Ketua Parlimen sekutu parti agama MMA, Liaquat Baloch, berkata: “Rushdie menyentuh perasaan dunia Islam dengan menulis buku menghina agama suci itu. Penganugerahan kesatria adalah cubaan melemahkan dialog antara agama yang berterusan.” Sementara itu Parlimen Pakistan, buat kali kedua menggesa Britain menarik balik penghormatan itu. Di Srinagar, ibu negeri Kashmir yang ditadbir India, mogok anjuran kumpulan Jamiat-ul-Mujahedeen menutup kedai, perniagaan dan sekolah. Penunjuk perasaan yang membaling batu sambil melaungkan, ‘Gantung Salman Rushdie’ disuraikan oleh polis yang melepaskan gas pemedih mata. Satu tunjuk perasaan kecil-kecilan juga diadakan di luar Masjid Regent’s Park di London, kebanyakannya disertai bekas anggota kumpulan radikal yang diharamkan, al-Muhajiroun. Rushdie menjadi tokoh paling dibenci di seluruh dunia Islam selepas penerbitan novelnya, The Satanic Verses, pada tahun 1989, yang disifatkan umat Islam menghina kepercayaan mereka. Pemimpin revolusi Iran, Ayatollah Khomeini, mengeluarkan fatwa membunuhnya. Ramai penduduk Pakistan tidak begitu mengendahkan bantahan itu malah sebahagian mereka berkata Presiden Pervez Musharraf gembira untuk menggalakkan perhimpunan itu untuk menarik perhatian orang ramai dari bantahan antikerajaan. – Agensi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan