Badan Perhubungan PAS Negeri Melaka bersama Persatuan Anak-Anak Melaka di Perantauan (Perawan) menjemput semua anak Melaka yang berada di sekitar Lembah Kelang ke Majlis Jamuan Teh pada 18 April ini.
Menurut Pesuruhjaya PAS negeri, Ustaz Abdul Ghani Abdul Rahman, antara tujuan diadakan majlis tersebut adalah bagi menyatukan anak-anak Melaka di sekitar Lembah Kelang agar dapat mengeratkan lagi tali silaturrahim yang sedia terjalin.
"Saya mengalu-alukan kehadiran mereka ke majlis tersebut dan untuk kita fikirkan bersama apakah bentuk sumbangan yang boleh mereka berikan bagi memacu kejayaan PAS di Melaka. "Adalah tidak mustahil untuk kita menguasai Negeri Melaka kerana pada Pilihan Raya Umum 2008 lalu kita hanya memerlukan 11 peratus sahaja lagi bagi mentadbir negeri Melaka," kata beliau.
Mereka itu, kata Ustaz Ghani terdiri daripada golongan intelektual, korporat dan terbuka mindanya mampu mempengaruhi ibu-bapa serta sanak saudara di kampung untuk melakukan perubahan politik dalam pilihan raya."Kalau mereka dapat balik mengundi dan mempengaruhi ibu-bapa maka tidak mustahil kita dapat perintah negeri Melaka," ujarnya.
Majlis Jamuan Teh anjuran Badan Perhubungan PAS Negeri Melaka dan Perawan itu akan diadakan pada 18 April 2009, bertempat di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Selangor dari pukul 3 petang hingga 6 petang. Antara tetamu kehormat yang akan hadir ialah Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa dan Menteri Besar Perak, Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin. Untuk keterangan lanjut sila hubungi Chulan (019-641 2717) dan Ali Bakar (019-227 6874).
17 April 2009
15 April 2009
Bila Cikgu Masuk Kampung ..
WALAUPUN menyedari tanggungjawab dan peranan profesion perguruan, ia bukan satu persetujuan bagi lepasan institusi perguruan untuk menerima tawaran mengajar di kawasan pedalaman.
Selain faktor kedudukan sekolah yang jauh, kebanyakan mereka sukar menerima jika dihantar bertugas di luar kawasan disebabkan stigma negatif iaitu kemudahan terhad.Lantaran itu, ada yang sanggup menganggur dan menukar profesion daripada dihantar bertugas nun jauh di pedalaman.
Mereka yang menyedari tanggungjawab dan peranan sebagai pendidik anak bangsa pula menerima tawaran terbabit walaupun terpaksa. Guru sekolah pedalaman di Sekolah Kebangsaan (SK) Balur, Gua Musang, Kelantan, Hazizul Mamat, 28, berkata selepas ditawarkan untuk mengajar di Gua Musang, dia menerimanya dengan hati yang gembira kerana masih berada di dalam negeri kelahirannya.
"Namun, selepas sesi taklimat bersama guru besar sekolah itu dan menjejakkan kaki ke sekolah tempat mengajar, hati saya meronta untuk balik ke kampung. "Perjalanan yang jauh dengan menggunakan kereta pacuan empat roda dan terpaksa merentasi tiga batang sungai saya boleh terima.
"Tetapi sebaik saja sampai ke sekolah itu dan melihat keadaannya, saya hanya mampu menitiskan air mata dan mahu pulang," katanya. Bagaimanapun, disebabkan tanggungjawab, Hazizul yang pada ketika itu berusia 21 tahun, pasrah dan meneruskan perjuangan sebagai seorang pendidik di sekolah Orang Asli sehingga kini.
Bercerita mengenai pengalaman mengajar di sekolah pedalaman, Hazizul mengakui cabaran utama mereka hanyalah perjalanan dan penyesuaian diri. "Dari segi mengajar, tidak banyak masalah yang dihadapi kerana kebanyakan pelajar di sekolah itu mempunyai minat untuk belajar.
"Tetapi, penyesuaian diri di perkampungan Orang Asli dan perjalanan ke sekolah adalah cabaran terbesar yang perlu saya tempuh," katanya. Hazizul berkata, dia terpaksa menempuh banyak halangan dalam perjalanan berikutan sekolah itu yang terletak di kawasan paling pedalaman di Gua Musang.
"Untuk sampai ke sekolah ini, saya terpaksa merentasi laluan hutan yang dipenuhi dengan binatang buas. "Selain itu, bertembung dengan lori balak dan debu yang tebal sehingga buku lali juga adalah halangan serta risiko yang perlu dihadapi.
"Sepanjang berkhidmat selama tujuh tahun di sekolah ini, pengalaman yang pasti tidak akan saya lupakan ialah terpaksa tidur di tepi sungai apabila air sungai naik," katanya. Menurutnya, dalam menyesuaikan diri dengan persekitaran serta masyarakat pula, ia sedikit sukar terutama dari segi penginapan.
"Ini kerana, saya adalah satu-satunya guru yang mengajar di sekolah itu selain guru besar. Jadi, tidak ada rumah penempatan untuk guru di sini. "Namun, alhamdulillah, sekarang keadaan sudah bertambah baik dan ia tidak lagi seperti dulu. Bilangan guru pun sudah bertambah," katanya yang dua kali menolak tawaran pertukaran sekolah.
Sementara itu, Azhar Abdul Aziz, 31, guru pedalaman di SK Bukit Mat Daling, Hulu Tembeling, Pahang berkata, mengajar di sekolah terbabit adalah pengalaman yang cukup bermakna buatnya. "Ketika menerima surat tawaran, sekolah ini beralamat di Jerantut dan bukannya di Hulu Tembeling. Jadi saya tidak kisah sangat.
"Namun, selepas bertemu dengan guru besar, barulah saya tahu yang sekolah itu terletak di pedalaman dan terpaksa menaiki perahu," katanya. Menurutnya, pengalaman yang tidak dapat dilupakannya ialah ditipu guru besar yang memaklumkan perjalanan untuk sampai ke sekolah dengan menaiki perahu hanya memakan masa sejam, tetapi sebenarnya perjalanan yang ditempuh selama empat hingga lima jam.
"Ketika baru menaiki perahu, setiap kali saya bertanya kepada guru besar, dia hanya menjawab, dekat lagi. Jadi saya hanya tunggu sehinggalah tiga kali bangun daripada tidur, masih juga tidak sampai dan guru besar hanya mampu tersenyum melihat gelagat saya.
"Selain itu, disebabkan sekolah terbabit dikatakan berada di kawasan pedalaman, keluarga membekalkan saya dengan peralatan memasak seperti periuk, kuali dan bahan mentah kerana beranggapan ia tidak dapat diperoleh di kedai di sini," katanya.
Kini, selepas 10 tahun menjadi guru di sekolah itu, Azhar menjadi lebih matang dan gembira menjalankan tanggungjawab sebagai pendidik.
Benarkah Mahasiswa Malaysia Anak Manja ??
MAHASISWA di negara ini perlu bersyukur segala kemudahan dan peluang yang diberikan pihak universiti.Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (PMUKM), Mohamad Nasir Mohamed Nazri, berkata kemudahan mahasiswa di negara ini jauh lebih selesa dan lengkap berbanding di Indonesia.
"Pihak universiti sentiasa memberi keutamaan terhadap kebajikan dan kemudahan infrastruktur, tetapi sesetengah mahasiswa tidak menghargai perkara itu."Cuba lihat kemudahan pendidikan di Indonesia, suasana pembelajaran tidak selesa, malah kemudahan yang disediakan tidak lengkapi.
"Kekurangan itu menyebabkan mahasiswa di Indonesia kuat berusaha dan bekerjasama," katanya yang mengikuti Lawatan Pembelajaran Malaysia Indonesia, baru-baru ini.Nasir berkata, mahasiswa perlu belajar berdikari dan tidak bergantung seratus peratus dengan pihak pengurusan universiti atau kerajaan.
"Saya perhatikan mahasiswa di negara ini terlalu dimanjakan sehingga mereka sukar untuk berdikari. Setiap kali ingin melakukan sesuatu perkara, kita akan mengharapkan bantuan universiti."Di Indonesia, mahasiswanya lebih berdikari. Ini kerana dalam setiap apa pun yang mereka lakukan, pengurusan universiti tidak akan membantu terutama kewangan.
"Jadi, mereka perlu mencari sumber kewangan sendiri bagi menganjurkan program," katanya.Selain itu, menurut Nasir, mahasiswa di sana juga lebih kreatif dalam dan sentiasa berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai apa yang diingini."Di sana, mereka bebas untuk berfikir dengan kreatif dalam melakukan sesuatu dan pihak pengurusan hanya memberi dorongan kepada mereka.
"Jadi, untuk mendapatkan sumber kewangan, sesetengah mahasiswa menjual nasi atau berniaga di kalangan mereka bagi menampung kehidupan," katanya.Justeru, sebagai presiden PMUKM dan pelajar, Nasir mengharapkan mahasiswa di negara ini lebih tahan lasak dan mencontohi mahasiswa Indonesia.
Bila guru berpolitik ....
APABILA isu pembabitan guru dalam politik dicadangkan Naib Presiden Umno yang juga Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein di Perhimpunan Agung Umno, baru-baru ini, ia menerima pelbagai reaksi masyarakat.
Ada menyambut baik cadangan itu, tetapi meletakkan syarat tertentu dan yang lain mahu golongan pendidikan dilarang menyertai politik kerana bimbang menjejaskan mutu pendidikan.Mengikut Perlembagaan Persekutuan Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) (Pindaan) 2002 P U (A) 246, pegawai dalam Kumpulan Pengurusan Tertinggi serta Kumpulan Pengurusan dan Profesional dilarang mengambil bahagian dalam aktiviti politik atau memakai mana-mana lambang sesuatu parti politik.
Pegawai kerajaan Kumpulan A atau Pengurusan juga dilarang mengambil bahagian secara aktif dalam politik seperti berkempen, sama ada pada waktu pejabat atau luar waktu pejabat.Bagaimanapun, jika cadangan itu ditarik balik, apakah guru mampu memberi sumbangan terhadap usaha memartabatkan industri pendidikan negara sedangkan mereka terpaksa menjalankan dua tanggungjawab serentak?
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Peramu Jaya, Ibrahim Awang Ismail, berkata pembabitan guru dalam politik tidak menjejaskan pendidikan negara terutama generasi muda. Beliau yang juga bekas guru besar, berkata kejayaan guru berpolitik sudah dibuktikan sejak Umno ditubuhkan."Berpolitik dalam kalangan guru bukannya baru kerana sejarah membuktikan pejuang bangsa dahulu terdiri daripada golongan pendidik malah mereka dipandang tinggi dalam masyarakat.
"Walaupun bertanggungjawab mendidik, mereka turut memperjuangkan bangsa Melayu," katanya.Pembabitan guru dalam bidang politik juga dilihat mampu melahirkan idea baru kerana mereka dekat dan dihormati masyarakat.Menurutnya, cadangan Hishammuddin mungkin bertitik- tolak daripada trend masa kini apabila bidang politik lebih banyak dimonopoli golongan korporat.
"Pembabitan guru membantu melahirkan golongan ahli politik yang berkebolehan dengan idea bernas dan segar."Tiada salahnya seseorang guru itu berpolitik asal mereka mempunyai minat dan bersikap profesional," katanya.Katanya, masalah guru mengabaikan tanggungjawab mendidik anak bangsa kerana berpolitik tidak akan timbul kerana beliau percaya mereka boleh menguruskan masa dengan baik.
"Sebagai pendidik, mereka sentiasa bersikap profesional dan bertanggungjawab."Jadi, saya pasti guru yang berpolitik ini mampu melakukan dua tanggungjawab dalam satu masa," katanya yang berpengalaman 25 tahun menjadi pendidik.Mengulas Perlembagaan Persekutuan melarang pegawai dalam kumpulan A dan pengurusan tertinggi terbabit aktif dalam politik, Ibrahim berkata perlembagaan boleh dipinda jika mendapat persetujuan ramai.
"Kita yang mencipta Perlembagaan, justeru tiada masalah untuk meminda atau mengubah asalkan mendapat persetujuan dan memberi manfaat kepada masyarakat."Pada masa sekarang pun, ada guru terbabit dalam politik secara diam-diam, justeru lebih baik memberi kebenaran daripada mereka melakukannya secara rahsia," katanya.Jika guru mahu aktif dalam politik, Ibrahim menasihatkan mereka sentiasa bertanggungjawab kepada kerjaya dan politik.
"Jika menyertai mana-mana parti politik pun, mereka perlu bersikap adil dalam menyampaikan ilmu kepada pelajar," katanya.Sementara itu, Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Mohd Hilmi Ramli, berkata pembabitan guru dalam politik lebih banyak memberikan impak negatif berbanding positif.Menurutnya, jika guru berpolitik, ia akan menjejaskan pendidikan anak bangsa selain memecahbelahkan bangsa Melayu.
"Guru perlu bersikap neutral dan tidak memihak mana-mana parti politik."Saya percaya golongan guru tahu pendirian mereka sebagai pendidik dan lebih bertanggung jawab untuk memberi ilmu kepada pelajar."Jika taksub kepada mana-mana politik pun, jangan dibawa sentimen atau emosi di sekolah termasuk ketika mengajar dalam kelas.
"Jika emosi mengenai kepartian dibawa ke sekolah, saya bimbang perpecahan masyarakat bertambah parah," katanya.Katanya, bangsa Melayu sudah berpecah-belah dengan adanya pelbagai parti politik dan tidak punya persepakatan.Hilmi berkata, kebanyakan guru dahulu adalah pejuang politik terutama ketika era menuntut kemerdekaan dan penubuhan Umno.
Bagaimanapun, katanya dengan perkembangan semasa yang gawat, pembabitan golongan pendidik dalam arena politik tidak sesuai."Jika golongan guru dibenarkan berpolitik, pegawai kerajaan lain pastinya mahu hak yang sama dan ini menimbulkan pelbagai implikasi kepada masyarakat serta negara."Jika semua pihak asyik berpolitik, apa akan jadi kepada urusan penting negara dan jika dilakukan pun, mungkin kualitinya merudum," katanya.
Bagaimanapun, katanya jika golongan itu tetap mahu terbabit secara aktif dalam politik, mereka boleh berhenti dan meletak jawatan sebagai pendidik.
Kursus Terpaksa ??
HANYA kerana ingin memberontak, tidak berpuas hati dan terpaksa mengambil kursus kurang diminati, sesetengah pelajar sanggup menggadaikan masa depan serta mensia-siakan peluang yang diberikan.Disebabkan tidak berminat dengan kursus terbabit, sesetengah pelajar sanggup belajar separuh jalan.
Ada juga enggan belajar bersungguh-sungguh dan gagal dalam peperiksaan.Situasi itu bukan saja memberi kesan negatif kepada pelajaran, tetapi menggelapkan peluang mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.Kenapa perkara ini perlu berlaku? Bukanlah setiap apa yang dipelajari itu adalah ilmu dan harus dihargai? Jika faktor minat, bukankah ia boleh dipupuk?
Pensyarah Fakulti Undang-Undang, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Datin Nor Aziah Mohd Awal, berkata tidak dinafikan dalam pemilihan kursus, minat adalah paling utama.
Menurutnya, jika seseorang itu meminati apa yang dilakukan, ia memberikan hasil yang terbaik."Namun, tanpa minat, seseorang itu boleh berjaya jika dia belajar bersungguh-sungguh dan menerima apa yang dipelajari dengan hati yang terbuka."Selain itu, minat juga akan datang dengan sendirinya jika mengenali kursus itu dan tahu apa kelebihannya," katanya.Nor Aziah berkata, sebagai seorang pelajar, mencari ilmu adalah satu tanggungjawab dan ia perlu dilaksanakan dengan sempurna.
"Walaupun pada awalnya mungkin ia tidak boleh diteruskan, cuba perlahan-lahan tanam minat itu dan menjadikannya sebagai satu keperluan yang perlu lakukan."Ini mungkin membantu dalam meringankan beban pelajar yang tertekan kerana terpaksa mengikuti kursus yang tidak diminati," katanya.Di samping itu, katanya, tidak semestinya masa depan seorang pelajar itu gelap hanya mengikuti kursus yang tidak diminati.
"Kursus yang diambil bukanlah penentu kerjaya selepas menamatkan pengajian. Ini kerana, dalam era globalisasii, bidang kerjaya sangat meluas dan ia bukan hanya berlandaskan kepada sijil atau diploma."Malah, ahli perniagaan, korporat atau mereka yang berjaya hari ini bukan semua mengikuti kursus yang diminati.
"Namun, kerana ingin berjaya, mereka meneruskan kursus terbabit dan mengejar cita-cita mereka selepas menamatkan pengajian," katanya.Bagi pelajar yang menerima tawaran kursus yang tidak diminati dan tiada keinginan berjaya, Nor Aziah menasihatkan mereka memberi peluang itu kepada orang lain.
"Jika tidak boleh menerima kursus itu, janganlah membuang masa anda kerana ramai lagi yang berminat mengikutinya," katanya.Seorang bekas mahasiswa, Mazlina Abu Bakar, 30, berkata tidak rugi mempelajari kursus yang tidak diminati walaupun terpaksa atau dipaksa.
Dia yang juga terpaksa mengikuti kursus yang tidak diminati, berkata ilmu yang diperoleh itu mungkin berguna di kemudian hari walaupun bidang itu menyimpang dari kursus yang diikuti."Tidak semestinya kita menghabiskan masa bertahun-tahun mengikuti kursus yang tidak diminati, sia-sia saja."Mungkin ia tidak sesuai dengan kerjaya yang dijawat sekarang, tetapi dalam kehidupan seharian, sedikit sebanyak ilmu itu akan berguna," katanya.
Mazlina mengambil bidang kedoktoran sedangkan meminati bidang penyiaran."Walaupun tidak menjadi doktor, saya masih boleh mengaplikasikan ilmu perubatan dalam kehidupan seharian. "Ilmu perubatan saya gunakan dalam masa kecemasan," katanya yang kini sudah membuka syarikat produksi sendiri.Sebagai bekas pelajar yang pernah tertekan dengan kursus yang tidak diminati, Mazlina menasihatkan pelajar senasib meneruskan kursus yang ditawarkan itu.Sebagai pelajar, kita perlu menerima ilmu yang diperoleh. Jangan kerana tidak minat, kita mensia-siakan masa depan."Dengan kelulusan dari kursus yang tidak diminati, ia seperti batu loncatan mencapai cita-cita dan merealisasikan impian selama ini," katanya.
Langgan:
Catatan (Atom)