12 Julai 2008

KELANTAN JUARA PIDATO PIALA PRESIDEN PMRAM

1 dan 2 Julai, Hayyu Asyir – Asrama Pelajar Selangor buat julung-julung kalinya menjadi saksi pertandingan Pidato Piala Presiden Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir di sini. Pertandingan yang mengambil masa dua hari ini mendapat sambutan baik daripada para mahasiswa. Pertandingan ini terbahagi kepada dua peringkat, iaitu peringkat saringan pada hari pertama dan peringkat akhir pada hari kedua.
Peringkat pertama telah menyaksikan sejumlah 7 orang peserta berentap untuk melayakkan diri ke pusingan akhir.7 orang peserta yang terlibat ialah Noraidin Nordin (Shoubra), Mohd Ridzuan Nazri (Shibin el-Kom), Mohd Fakhruddin Zurajali (Kelantan), Azizul Hafiz Ameryddin (Perak), Ahmad Haikal Idris (Selangor), Abu Dzar Ahmad (Dumyat), dan Muhammad Nuruddin Amiruddin (Pulau Pinang).Untuk mengadili pertandingan ini pula, tiga orang hakim yang bertauliah telah diimpot untuk mengelakkan sebarang kontroversi atau ketidak-adilan. Bagaimanapun hanya tiga orang peserta layak ke peringkat akhir iaitu wakil daripada Shoubra, Kelantan dan wakil tuan rumah sendiri, Selangor.Hari kedua bermula jam 6.15 petang.
Tiga orang finalis tersebut dikehendaki memberikan pidato berkaitan satu tajuk yang telah diberikan selepas berakhirnya peringkat saringan dan satu lagi pidato spontan. Ketiga-tiga orang peserta telah menunjukkan prestasi dan potensi tinggi, menyukarkan pihak hakim menentukan siapakah yang paling layak bergelar johan pertandingan ini. Turut hadir menyaksikan pertandingan ini Presiden PMRAM sendiri, Ustaz Mohd Khairul Anuar Ismail.
Selepas solat Maghrib, majlis perasmian penutup Pertandingan Pidato Piala Presiden PMRAM 2008 diadakan untuk mengumumkan para pemenang, sekaligus menutup tirai pertandingan ini. Majlis dimulai dengan ucapan pengarah program, Ustaz Syafiq Zulakifli. Seterusnya tuan Presiden dijemput untuk melontarkan kata taujihatnya buat para hadirin. Dan akhir sekali, wakil hakim pertandingan ini, Encik Mohamad Noor Deros dari Singapura, diberikan penghormatan untuk menuturkan sedikit ulasan tentang prestasi keseluruhan peserta pidato, sekaligus mengumumkan nama pemenang.Pertandingan Piala Presiden PMRAM kali ini telah dimenangi oleh wakil dari Kelantan, Mohd Fakhruddin Zurajali, tempat kedua digondol oleh wakil tuan rumah, Ahmad Haikal Idris, manakala tempat ketiga disandang wakil Shoubra, Noraidin Nordin.Tahniah buat para pemenang dan kepada yang kurang bernasib baik, cuba lagi di tahun hadapan!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan