31 Mei 2008

Muhadharah untuk tingkat martabat Islam

Oleh W. Rahimah Draman APABILA memperkatakan tentang pengurusan Islam kita sering diperlihatkan dengan corak pentadbiran dan pengendalian yang lemah, lambat, tidak cekap dan pelbagai budaya negatif yang tidak berinovatif.Kelemahan dan kepincangan pengurusan berkaitan Islam di Malaysia paling terserlah dalam urusan institusi kehakiman dan perundangan syarie, institusi zakat, nikah cerai dan kekeluargaan hingga pengurusan masjid dan surau.Ia juga melibatkan seluruh agensi-agensi berkaitan agama Islam yang terdapat di negeri-negeri.
Sedangkan konsep dan prinsip pengurusan sebenar Islam cukup jelas dan mudah jika semua yang terbabit benar-benar telus, ikhlas, bertanggungjawab dan amanah dalam setiap tugas yang dipertanggungjawabkan ke atas mereka. Setiap Muslim pula bertanggungjawab untuk melaksana dan menjadikan Islam sebagai cara hidup sebagaimana dijelaskan dalam al-Quran: Dan demikian (pula) Kami telah menjadikan kamu (umat Islam), umat yang adil dan pilihan (kerana mereka akan menjadi saksi atas perbuatan orang yang menyimpang dari kebenaran baik di dunia maupun di akhirat) agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas (perbuatan) kamu... (al-Baqarah: 143). Soalnya bagaimana amalan dan budaya negatif yang bertentangan dengan prinsip-prinsip al-Quran dan al-Sunnah wujud dan terus menebal di kalangan Muslim terutama yang melibatkan urusan serta kepentingan ummah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, sikap jumud dan taklid membuta tuli tanpa mahu berfikir, mengkaji serta bersedia untuk terus belajar bagi mengubah dan berubah di kalangan Muslim yang terlibat dalam pengurusan dan pentadbiran Islam adalah punca agama suci ini diperlekeh dan umatnya dihina. Menurutnya, setiap Muslim khususnya mereka yang diberi tanggungjawab dan amanah dalam kerja-kerja keislaman mesti bersikap proaktif bukan reaktif dengan tunggu dan lihat.Penguasa-penguasa Islam yang dipertanggungjawabkan kata beliau, perlu dan mesti jadi penasihat kepada sultan dan raja-raja bukan pelapor.Perbezaan"Jika timbul atau berlaku perbezaan hukum dalam syarie antara negeri dengan negeri, kitalah puncanya sebab kita yang dipertanggungjawabkan tidak melaksanakan amanah Allah SWT," katanya.Ahmad Zahid berkata demikian semasa berucap dalam program Muhadharah (wacana minda) Hala Tuju Pengurusan Hal Ehwal Islam di Malaysia di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Bangi, baru-baru ini.
Menurutnya, pengurusan dan pentadbir Islam yang gagal melaksanakan amanah Allah SWT bagi menjana prinsip- prinsip al-Quran dan al-Sunnah adalah pengkhianat agama.Ini kerana tegas beliau, Islam adalah matlamat bukan wadah atau cara yang boleh disampai dan direalisasikan mengikut selera para pemimpin politik.Muhadharah adalah program wacana minda yang pertama kali diperkenalkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) melalui ILIM. Ia bertujuan membicarakan secara ilmiah bagi mengembalikan martabat Muslim sebagai peneraju isi alam di kalangan petugas dan penguasa dalam pengurusan Islam negara ini.Program sulung yang akan dijadikan agenda tetap Jakim sekurang-kurangnya enam kali setahun itu diadakan khusus kepada semua penguasa dan pengurusan di Jabatan Perdana Menteri iaitu seperti para mufti, Ketua-Ketua Hakim Syarie negeri-negeri, Ketua-Ketua Pegawai Eksekutif Majlis dan Pengarah Jabatan Agama negeri-negeri. Program pembuka tirai itu disertai oleh 200 penguasa Agama Islam negara.Kata Ahmad Zahid lagi, jika semua penguasa pengurusan keislaman menjana perintah al-Quran dan sunnah, Islam pasti menjadi agama yang berdaulat dan dihormati penganut lain-lain agama dan Muslim tidak dihina.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan